Mengapa Gabenor Bali Yang ‘Dihentam’? Kenapa Tidak FIFA Yang ‘Diganyang’?

Netizen Indonesia kini sepertinya sedang bersatu hati menghentam Gabenor Bali, Wayan Koster yang menolak untuk menerima kehadiran skuad bawah 20 tahun Israel untuk sesi undian saingan Piala Dunia B-20.

Dek kerana Wayan Koster menolak kehadiran Israel, FIFA memutuskan untuk membatalkan terus sesi undian tersebut, dan hak Indonesia sebagai tuan rumah kejohanan juga mungkin akan ditarik balik.

Rata-rata peminat menghentam Gabenor Bali itu dan menganggap beliau bersikap tak matang serta tak profesional kerana mempolitikkan bola sepak.

Semakin ramai pihak yang menghentam beliau selepas melihat sembilan kesan-kesan buruk yang akan menimpa bola sepak Indonesia andai mereka tidak menjadi tuan rumah Piala Dunia B-20 kali ini.

Bukan hanya penyokong, bahkan artis, menteri, YB, pemain-pemain dan ramai lagi yang turut menghentam Gabenor Bali atas tindakan beliau itu.

Benar, bola sepak memang tidak patut dipolitikkan, benar pemain-pemain muda Israel itu datang ke Indonesia untuk bermain bola sepak dan bukan mahu berperang, tetapi Wayan Koster sendiri jelas ada prinsip beliau sendiri yang harus beliau pertahankan.

Adakah pemain-pemain bola sepak Rusia pergi ke mana-mana untuk berperang? mengapa tiada yang mempertahankan hak mereka untuk bermain bola sepak?

Siapa sebenarnya yang mempolitikkan bola sepak? FIFA atau Wayan Koster?

FIFA politikkan bola sepak dengan menyingkirkan Rusia dari pertandingan anjuran mereka

Jika semua masih ingat, ketika berlakunya perbalahan antara Rusia dengan Ukraine, FIFA dan UEFA tidak menunggu lama untuk masuk campur dan mempolitikkan bola sepak.

Rusia ketika itu sedang beraksi untuk aksi kelayakkan Piala Dunia Qatar, dan menjelang aksi mereka bertemu Poland, FIFA memutuskan untuk mengharamkan mereka dari menyertai pertandingan di bawah anjuran FIFA dan UEFA.

“FIFA dan UEFA hari ini membuat keputusan bersama untuk mengharamkan semua pasukan dari Rusia, baik di peringkat kelab mahupun skuad kebangsaan dari menyertai mana-mana pertandingan di bawah anjuran FIFA atau UEFA hingga diberitahu kelak.”

Mengapa FIFA boleh menyingkirkan negara lain atas isu politik di negara mereka? mengapa ketika pihak lain melakukan hal sama, mereka berdepan hukuman yang berat?

Tindakan Malaysia yang Indonesia boleh contohi

Melihat dilema Indonesia, timbul pertanyaan dalam kalangan netizen apa yang berlaku sekiranya kerajaan Malaysia berdepan situasi yang sama.

Untuk rekod, ketegasan Malaysia untuk tidak membenarkan kemasukan dan penyertaan atlet Israel telah menyebabkan negara ini telah kehilangan hak penganjuran bagi beberapa kejohanan sukan antarabangsa.

Antaranya adalah hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia yang dijadualkan pada 2019 di Kuching, Sarawak yang dilucutkan oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarbangsa (IPC).

Ia susulan pendirian kerajaan Malaysia pada ketika itu dipimpin oleh Tun Mahathir Mohamad yang bertegas tidak akan berkompromi dan berdiri teguh dengan keputusan yang ditetapkan atas dasar kemanusiaan dan belas kasihan terhadap nasib rakyat Palestin.

“Dia nak batal, batallah”, jawab Tun Mahathir ketika ditanya Berita Harian mengenai keputusan IPC yang membatalkan hak Malaysia sebagai tuan rumah.

“Kita berpegang kepada prinsip kita. Prinsip kita adalah Israel adalah negara penjenayah. Mereka melanggar undang-undang antarabangsa dan tidak ada sesiapa berkata apa-apa. Kita ada hak untuk menyuarakan suara dan perasaan kita, serta kita mempunyai dasar kita sendiri,”

Ditanya sama ada keputusan Malaysia itu kelak akan menjejaskan peluang Malaysia untuk menganjurkan acara sukan antarabangsa yang lain, jawab Tun Mahathir berkata: “Kita tak boleh anjur Sukan Olimpik, kita boleh anjur sukan lain.”

Turut mewakili suara kerajaan Malaysia, Menteri Belia dan Sukan ketika itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan Malaysia akan kehilangan kompas moralnya jika hak pengajuran acara sukan antarabangsa menjadi perkara yang lebih penting daripada membela nasih rakyat Palestin yang dibunuh, diseksa dan dicacatkan oleh rejim Israel.

“Kami ingin mengingatkan kepada IPC yang ‘Amnesty International dan Human Rights Watch’ sendiri telah melaporkan bahawa kerajaan [Benjamin] Netanyahu sebagai pelaku jenayah perang,” ujar Syed Saddiq dalam berita yang disiarkan Astro Awani.

“Sebagai pemimpin Israel, beliau melambangkan tekad bersama kerajaan Israel. Negara itu bertanggungjawab sepenuhnya atas keseluruhan tindakan moral mereka.”

Netizen Indonesia patut hentam FIFA bukan Gabenor Bali

Ketika Gabenor Bali cuba untuk melakukan hal yang positif, netizen sendiri pula menghentam beliau tanpa belas.

Pada ketika ini, netizen Indonesia sepatutnya menyerang FIFA dan bukannya Wayan Koster kerana FIFA sendiri yang mempolitikkan bola sepak.

Hak Indonesia sebagai tuan rumah masih belum ditarik dan hanya sesi undian sahaja yang dibatalkan.

Netizen Indonesia yang kononnya digeruni dunia itu sepatutnya menyerang FIFA dan mengungkit semula apa yang mereka lakukan terhadap Rusia serta mengecam mereka kerana merekalah yang memulakan politik dalam bola sepak.

FIFA bahkan tak perlu melakukan apa-apa kerana netizen Indonesia sendiri sudah seolah-olah mempertahankan keputusan mereka itu.

Mengapa netizen Indonesia tidak menghentam FIFA atas ancaman yang diberikan? mengapa mereka menyalahkan Gabenor Bali sebagai perosak masa depan bola sepak Indonesia? bincangkan diruangan komen.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN