Mengapa Ekanit Panya Lebih Bersedia Ke Peringkat Senior Berbanding Luqman Hakim

Ekanit Panya Thailand UAE Kelayakan Piala Dunia

Pemain yang menjadi sebutan ramai selepas Thailand membenam cabaran UAE, dalam perlawanan Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, tentunya bukanlah Teerasil Dangda, tetapi pastinya pemain yang berusia 19 tahun, Ekanit Panya.

Selain itu, Thailand turut menurunkan pemain meningkat naik di Thai League yang baru berusia 17 tahun, Suphanat Mueanta sebagai pemain gantian – menggantikan Nitipong Selanon.

Di Malaysia juga, penyokong-penyokong mula bersuara tentang peluang yang telah diperolehi Ekanit Panya yang bukan sahaja telah beraksi di peringkat senior, namun turut menyerlah dengan bantuan gol dan gol kemenangan 2-1 Thailand ke atas UAE.

Penyokong bola sepak tanah air dilihat mula membandingkan Ekanit Panya dengan Luqman Hakim Shamsudin, penyerang skuad B-19 negara yang masih tidak diberikan ruang bersama Harimau Malaya sehingga kini. Wajarkah perbandingan tersebut?

Janji Tan Cheng Hoe

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah berjanji sebelum ini yang Luqman Hakim dan Mukhairi Ajmal akan diberikan peluang bermula pada tahun hadapan. Kedua-dua pemain muda ini adalah tonggak skuad B-19 negara.

Luqman Hakim Malaysia B-18 AFF B-18
FOTO: NFDP

Luqman Hakim sentiasa menyerlah dalam kejohanan peringkat umur yang disertainya iaitu ketika bersama skuad B-16 dan B-19 sementara Mukhairi Ajmal pula semakin disebut-sebut sejak membantu PKNP FC dalam saingan Piala Malaysia 2019.

Begitupun, pengendali berusia 51 tahun itu juga mahu melihat perkembangan mereka berdua bersama skuad B-19 yang akan beraksi dalam kelayakan Piala AFC B-19 serta mungkin skuad B-23, sekiranya dipanggil oleh pengendali, Datuk Ong Kim Swee.

Skuad B-23 akan beraksi di Sukan SEA 2019, juga pada November depan dan pastinya para pemerhati mahu melihat dua pemain ini dipanggil untuk bersama skuad tersebut. Sekiranya berpeluang dan beraksi baik, adakah pintu skuad senior berjaya diketuk?

Ekanit Panya bukan muncul tiba-tiba

Siapakah pemain muda ini? Adakah secara tiba-tiba Ekanit Panya muncul di arena antarabangsa untuk bersama skuad senior Gajah Perang? Ini bukanlah kebetulan, beliau tidak dipanggil secara tiba-tiba. Beliau bermula daripada skuad muda sehingga skuad B-23.

Sebagaimana komen Tan Cheng Hoe, beliau mahu melihat aksi kedua-dua pemain tersebut berperingkat, bermakna Luqman Hakim dan Mukhairi Ajmal perlu melalui proses bersama skuad B-23 selepas ini bagi melihat sejauh mana kemampuan mereka.

Ekanit Panya Chiangrai United
FOTO: Bangkok Post

Begitulah yang dilalui Ekanit Panya. Pemain kelab Chiangrai United, yang bersaing di Thai League 1 ini telah beraksi bersama skuad B-19, B-21 dan juga B-23 Thailand sebelum membuat debut bersama skuad senior pada 10 September lalu – ketika bertemu Indonesia.

Malam tadi adalah penampilan ketiganya bersama skuad Gajah Perang dan ketiadaan pemain sensasi, Chanathip Songkrasin telah membantunya untuk mempamerkan satu aksi yang memukau.

Ledak gol di saingan liga pada usia 15 tahun

Ini adalah satu lagi perbezaan antara Luqman Hakim dan Ekanit Panya. Sejauh mana Luqman Hakim telah membuat penampilan dalam saingan liga profesional di dalam negara? Ini juga sangat penting dalam membentuk permainan pemain-pemain. Persaingan dengan pemain lebih berusia dan import mematangkan mereka.

Sejak muncul dalam arena bola sepak Thailand pada 2015, Ekanit Panya telah membuat 83 penampilan liga bersama tiga buah kelab iaitu Chiangrai United, Chiangrai City (pinjaman) dan kini bersama Chiangmai FC juga secara pinjaman daripada Chiangrai United.

Selain itu, pemain yang meledak gol sulungnya pada malam tadi sebenarnya memiliki satu rekod peribadi di dalam saingan tertinggi Thai League iaitu pernah menjadi penjaring termuda iaitu pada usia 15 tahun 11 bulan – telah dipintas oleh seorang lagi pemain muda yang turut beraksi, Suphanat Mueanta (15 tahun 9 bulan).

Suphanat Mueanta Buriram United
FOTO: Buriram United

Dan jangan terkejut, Suphanat Mueanta yang kini berusia 17 tahun telah menjaringkan 8 gol pada musim ini dan 10 gol keseluruhan untuk dua musim di Thai League 1 bersama Buriram United.

Bagaimana pula dengan Luqman Hakim? Beliau baharu sahaja menandatangi kontrak profesional bersama kelab di Belgium, K.V Kortrijk dan akan ke sana apabila usianya genap 18 tahun, iaitu pada tahun hadapan. Oleh itu, adakah tepat perancangan Tan Cheng Hoe mempertimbangkannya terlebih dahulu?

Thailand boleh, kenapa kita tak boleh?

Usahlah kita membandingkan apa yang ada dengan Thailand dan apa yang Tan Cheng Hoe sedang lakukan kepada skuad negara. Ada pro dan kontra serta pertimbangan mendalam mengenai situasi untuk menampilkan secara eksklusif Luqman Hakim.

Tetapi, mungkin pada ketika ini, sekiranya Norshahrul Idlan Talaha ataupun pemain lain yang masih gagal memberikan aksi yang boleh dikategorikan sebagai memberangsangkan, beberapa pemain lain yang beraksi di liga perlu diberikan peluang.

Sebagai contoh, S. Kumaahran dan Rozaimi Abd Rahman yang ketika ini sedang beraksi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) II. Mereka pernah berkhidmat untuk negara sebelum ini dan sedang bermain dengan baik bersama JDT II. Ya, diakui mereka bersaing di Liga Premier, namun rasanya tiada masalah untuk diuji pemain yang sudah pernah memiliki rekod bersama skuad kebangsaan.

Apa pun, janji beliau kepada semua, tahun hadapan, kedua-dua pemain itu sudah boleh mula mengetuk pintu skuad kebangsaan. Apa pula janji pasukan-pasukan liga untuk lebih mengenegahkan bakat muda sepertimana yang berlaku di Thai League?

Liga kita sudahlah kecil, jangan pula dikecilkan peluang untuk mereka menyerlahkan bakat di peringkat tersebut. Mana tahu, bila diberikan ruang dan peluang di saingan liga, akan ada Ekanit Panya dan Suphanat Mueanta versi Malaysia yang berjaya dilahirkan.

Kredit Featured Image: FA Thailand

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN