Mengapa Bekas Bintang Liga Super Bermain Di Selangor Champions League

Hidup pasca karier profesional sentiasa memberi cabaran kepada mana-mana pemain. Pada satu ketika, segala aspek kehidupan mereka sudah diatur – dari sesi latihan, rehat, gimnasium, nutrisi sehingga ke hari perlawanan. Pada satu ketika yang lain, mereka perlu menguruskan semuanya sendiri.

“Payah jugalah sebab sebelum ini hidup kita hanya berlatih kemudian main. Berlatih kemudian main. Ulang-ulang itu sahaja,” kata Fairuz ‘Botak’ Abdul Aziz. “Sekarang kena pandai-pandai susun masa sendiri antara keluarga, bisnes dan belajar.”

Kehidupan bekas pertahanan Selangor FA ini tidak menjadi lapang selepas bersara. Malah semakin sibuk sebenarnya. Antara urusan bisnes, keluarga, diploma di UNISEL, kerja di Akademi NAFC dan komitmen terbarunya – Cyberjaya Teleflow FC, amat mengagumkan bila melihat Botak masih nampak seperti Botak yang Semuanya BOLA kenal – suka bergurau.

“Mujur isteri saya pandai orangnya. Kadang-kadang ada benda yang saya blur masa nak buat assignment diploma, dia yang tolong. Bisnes pun dia yang lead. Kemudian dia juga galakkan saya terus buat benda yang saya minat – jadi youth coach di Akademi NAFC dan main dengan Teleflow,” dedah Botak dengan senyuman yang tak lekang di wajahnya.

Apabila kami tanya apa yang membuatkan beliau mahu membantu Cyberjaya Teleflow dalam kempen Selangor Champions League 2019, beliau menjawab ringkas: “Saya cuma nak tolong Coach Bad (Badrul Hisham, bapa Azrif Nasrulhaq) guide budak-budak muda di sini.”

*Sebagai rekod, setiap pasukan yang bertanding di Selangor Champions League wajib menurunkan sekurang-kurangnya seorang pemain bawah-21 di atas padang sepanjang perlawanan. Pemain bawah-21 itu pula wajib memakai lilitan lengan berwarna hijau bagi memudahkan penganjur (dan peninjau bakat) mengenalpasti mereka.

Menurut Botak, bayaran yang diterimanya untuk menabur bakti di Akademi NAFC dan Cyberjaya Teleflow tidaklah besar mana. Di Akademi NAFC, beliau dibayar RM100 per sesi latihan. Di Teleflow, beliau menerima elaun RM1,000 sebulan. Tetapi naluri mendidiknya terlalu kuat untuk dibendung dengan wang ringgit.

“Saya buat coaching di Akademi NAFC dan main Teleflow ini pun bukannya nak kejar duit. Cuma kita bila dah berpuluh tahun main bola, tiba-tiba berhenti (bersara) main bola, kaki jadi gatal nak main,” katanya lagi sambil tertawa.

Impak Botak di barisan pertahanan Teleflow sangat besar. Selepas tamat perlawanan peringkat kumpulan, pertahanan Teleflow muncul pasukan kedua terbaik dalam kejohanan – selepas NPNG Damansara Damai – apabila hanya melepaskan 41 percubaan kepada pasukan lawan.

Walaubagaimanapun lain pula ceritanya bagi jentera serangan Teleflow yang diketuai oleh seorang lagi bekas pemain profesional, Ibrahim Syaihul.

Berbeza dengan Botak yang beraksi cemerlang sepanjang kejohanan, Ibrahim bagaikan sudah hilang sentuhan penyudahnya. Pada satu ketika pernah mengemudi jentera serangan Kuala Lumpur FA (apabila Guilherme de Paula cedera) di Liga Super 2018, Ibrahim kini hanya bayangan Ibrahim dahulu.

Ketika menentang Bagi Jang’s Trooper, Ibrahim membazirkan 5 peluang jelas untuk menjaringkan gol. Pasukannya sekadar seri 0-0. Ketika kekalahan 0-1 kepada Kingstown Klang – sebuah lagi pasukan yang mempunyai banyak bekas pemainprofesional – Ibrahim berada di ‘poket’ bekas pertahanan Terengganu FA, Azlan Zainal sepanjang perlawanan.

Bekas bintang Pahang FA, Azidan Sarudin menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan tersebut.

Selepas tamat perlawanan peringkat kumpulan , Cyberjaya Teleflow sekadar menduduki tangga ke-5 daripada lapan pasukan, sekaligus gagal layak ke peringkat suku akhir Selangor Champions League 2019.

Kedudukan akhir kumpulan A Selangor Champions League 2019 (Foto: Football Selangor)

Ia pencapaian yang boleh dikira bawah kemampuan sebenar jika status mereka sebagai salah satu heavyweights kejohanan diambil kira. Coach Bad menyalahkan persiapan kurang rapi pasukannya sebagai punca kegagalan; satu indikasi bahawa level Selangor Champions League sememangnya cukup tinggi.

Hakikat itu turut diakui oleh Rudie Ramli. Beraksi untuk Kingstown Klang, beliau mengaku kejohanan ini bukan untuk pasukan yang ‘collect pemain’ – praktis biasa bagi pasukan liga sosial di Lembah Klang.

“Agak lega juga boleh layak ke suku akhir sebab pasukan kami tiada latihan. Semua buat latihan sendiri-sendiri. Hujung minggu baru kumpul sekali untuk main,” dedah bekas penyerang kebangsaan ini.

Kelegaan Rudie ini ada asasnya kerana semua tiga kekalahan Kingstown Klang hadir ketika menentang tiga pasukan yang memang mempunyai latihan berpasukan setiap minggu: Puchong Fuerza, Shah Alam PIB dan Kuala Selangor Batu Dua.

Sejak bersara dari arena profesional pada 2017, Rudie kini ligat dalam arena bola sepak amatur pula.

Aktif bermain di liga sosial untuk beberapa pasukan sebelum memberi komitmen kepada Kingstown Klang, penyerang berusia 37 tahun ini masih belum hilang bisanya di depan gol. Pada tahun ini, beliau membantu pasukannya layak ke suku akhir Piala Emas Raja-Raja 2019. Di Selangor Champions League, tiga gol telah berjaya dijaringkannya.

Fantasy Football SCL2019

Rakan sepasukannya juga turut cemerlang. Azlan Zainal, meskipun nampak tidak lagi mampu mengejar penyerang-penyerang muda yang laju, masih memancarkan kelas menerusi bacaan permainan dan deria positioning yang cemerlang. Azidan Sarudin pula telah 2 kali bergelar pemain terbaik perlawanan dan menjaringkan 2 gol – kedua-duanya menerusi sepakan percuma.

Azidan

Syazwan Rani, Shamirul Rani, Lot Abu Hassan, Fakhrurazi Musa dan Fazli Baharudin juga mempamerkan prestasi baik. Tetapi perkara sama tidak boleh diperkatakan kepada Manaf Mamat, yang seperti Ibrahim Syaiful, bergelut untuk menggegar jaring di pentas Selangor Champions League 2019.

Sejak dilancarkan pada 2016, Selangor Champions League sudah jauh berbeza. Kejohanan yang diilhamkan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ini bermula sebagai pentas mencari juara antara juara liga amatur Selangor. Kini ia menjadi pentas bagi pasukan amatur merebut slot ke pusingan pertama Piala FA Malaysia.

Untuk mendapat peluang menentang pasukan Liga Super.

Untuk mengikuti jejak langkah Jerantut FA yang mendapat peluang menentang pasukan Liga Super, Perak FA ketika saingan Shopee Piala FA 2019 yang lepas.

Selangor Champions League bermula sebagai medan pemain benua Afrika yang datang ke Malaysia untuk mengekalkan tahap kecergasan sementara peluang bermain secara profesional di Asia Tenggara tiba. Pada edisi 2017 dan 2018, hanya 7 pasukan yang menggunakan 100% pemain tempatan. 11 pasukan lagi masing-masing mempunyai sekurang-kurangnya seorang pemain import.

Tetapi pada edisi 2019, sebanyak 10 pasukan menggunakan 100% pemain tempatan. Hanya 6 pasukan sahaja yang menggunakan khidmat pemain import.

Pada tiga edisi pertama Selangor Champions League, bilangan bekas pemain profesional yang bermain boleh dikira dengan jari. Tetapi pada edisi 2019, terdapat sekurang-kurang 32 bekas pemain profesional bermain.

Daripada pentas pemanas badan bagi pemain import kepada pentas memperagakan bakat bawah-21 terbaik di Selangor, Selangor Champions League telah berevolusi.

Ia secara perlahan-lahan telah memberi sebab kepada bekas pemain-pemain profesional untuk terus bermain sambil menjadi mentor – supaya pemain-pemain muda ini dapat menikmati karier bola sepak yang lebih berjaya daripada mereka.

Ikuti aksi suku akhir Selangor Champions League 2019 di Arena MPSJ, Subang Jaya bermula jam 4 petang ini atau ikuti siaran langsung di Facebook Football Selangor.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN