Pendekatan Louis van Gaal yang menjadikan pelumba Formula 1, Max Verstappen sebagai inspirasi Belanda nampaknya begitu berkesan selepas pasukannya ‘kenduri besar’ menewaskan Turki 6-1 dalam aksi kelayakan Piala Dunia.
Memphis Depay mencatat hatrik pertamanya di peringkat antarabangsa dan meletakkan skuad Oranje di persada Kumpulan G.
Dalam aksi yang berlangsung di Johan Cryuff Arena itu, Davy Klaasen meletakkan Belanda di depan seawal minit pertama perlawanan hasil gerakan satu dua dengan Depay di dalam kotak penalti.
It only took the Netherlands 54 seconds to score on Turkey 😱 pic.twitter.com/3VBcbDDoib
— FOX Soccer (@FOXSoccer) September 7, 2021
15 minit kemudian gandingan kedua-dua pemain itu menghasilkan jaringan dengan kali ini Klaasen pula menyumbang hantaran cantik kepada Depay untuk gol kedua pasukannya.
Depay meledak gol keduanya menerusi sepakan penalti dengan teknik panenka bagi memastikan Belanda terus menguasai perlawanan setelah Caglar Soyuncu dipersalahkan kerana menjatuhkan Klaasen dalam kotak penalti.
Nasib Turki bertambah buruk apabila pemain pertahanan Leicester City itu diarahkan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua beberapa minit sebelum masa rehat kerana mengasari Depay.
Belanda tidak perlu menunggu lama untuk memanfaatkan kelebihan yang dimiliki. Depay melengkapkan hatriknya pada minit ke-54 dengan mudah menanduk masuk bola ke dalam gawang yang sudah terbuka.
Ia merupakan gol ke-12 penyerang Barcelona itu dalam 10 perlawanan terakhir, sekaligus beliau kini menyamai rekod jaringan Johan Cryuff dan Abe Lenstra dengan 33 gol untuk skuad kebangsaan Belanda.
Certified hattrick boy ⚽️⚽️⚽️🏹 pic.twitter.com/wOty0RTzhJ
— Memphis Depay (@Memphis) September 7, 2021
Dua gol terakhir Belanda disumbangkan oleh Guus Til dan Donyell Malen pada 10 minit terakhir perlawanan sebelum Cengiz Under menyumbang gol saguhati untuk pasukan pelawat pada masa kecederaan.
Van Gaal sebelum ini menyamakan tahap keyakinan anak buahnya sama seperti Max Verstappen yang mengatasi juara bertahan Formula 1, Lewis Hamilton selepas muncul juara semasa Grand Prix Belanda pada minggu lalu.
De cover van AD Sportwereld van vrijdag 16 juli. Met daarin aandacht voor Max Verstappen, Wout Poels, Louis van Gaal, Dusan Tadic, Alireza Jahanbakhsh, Arjen Robben en de column van Thijs Zonneveld pic.twitter.com/FslkvYSeFG
— AD.nl/sportwereld (@ADSportwereld) July 15, 2021
“Perkara paling penting yang juga dimiliki Max adalah keyakinannya terhadap kemampuan diri sendiri,” ujar Van Gaal.
“Keyakinan yang sangat tinggi dan anda baru mendengar daripada Memphis Depay bahawa dia juga mempunyai keyakinan yang sangat kuat terhadap pasukan.
“Saya gembira dengan perkara ini kerana saya juga mempunyai keyakinan tinggi. Jadi, kami semua berada dalam gelombang yang sama.”
Selepas terikat 1-1 dengan Norway dalam perlawanan pertamanya, Van Gaal tidak menoleh ke belakang untuk memacu kemenangan Belanda ke atas Montenegro 4-0 tempoh hari.
Kini pasukannya mengumpul 13 mata, manyamai mata dimiliki Norway yang turut menang 5-1 ke atas Gibraltar, namun Belanda mendahului kumpulan dengan kelebihan perbezaan gol.