Pemain pertahanan, Benjamin Mendy digantung selama setahun daripada memandu selepas kesalahan trafik yang dilakukan oleh pemain Manchester City itu.
Pemain kelahiran Perancis itu didakwa di mahkamah selepas kenderaan Mercedez miliknya didapati melanggar had kelajuan oleh pihak polis.
Dan kesalahan oleh Mendy tersebut ialah kesalahan berulang, iaitu melanggar had kelajuan sebanyak empat kali di dalam tempoh dua minggu.
Mendy melalui peguam beliau bagaimanapun berkata beliau bukan pemandu kenderaan tersebut pada ketika itu.
Menurut laporan oleh BBC, Mendy menafikan beliau memandu kenderaan Mercedez miliknya itu pada setiap kesalahan, namun mahkamah tetap mengarahkan beliau membayar denda sebanyak £2,500 beserta kos lain berjumlah £185.
Dengan pendapatan yang diperolehi oleh Mendy, jumlah tersebut mungkin dianggap kecil. Bagaimanapun Mendy menimbulkan kemarahan mahkamah kerana hanya menghantar peguam, dan tidak menghadirkan diri ke perbicaraan.
“Kita sedang berhadapan dengan empat kesalahan lalu lintas di sini. Dua daripadanya dilakukan pada hari yang sama, dan ini adalah perkara yang serius,” ujar majistret Michael Blackhurst.
“Dan ia seperti tidak dipedulikan. Hakikat beliau (Mendy) tidak hadir ke perbicaraan ini menyebabkan kami tidak boleh berbicara sendiri terus kepada beliau mengenai kesalahan ini.
Peguam Mendy, Gwyn Lewis bagaimanapun berkata: “Kehadiran saya cukup untuk mewakili Mendy.
Menurut laporan BBC, kesalahan pertama yang disebut oleh mahkamah dilakukan pada 9 Februari lalu, dan diulangi sekali lagi pada hari berikutnya. Dua kesalahan selepas itu dilakukan pada 21 Februari.
Mendy dijangka akan direhatkan oleh Pep Guardiola dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang Cardiff City selepas mengalami kecederaan di buku lali.