Turun dengan misi ‘wajib menang’, Barcelona telah bersedia untuk membenam Liverpool di Camp Nou pada peringkat separuh akhir pertama Liga Juara-Juara, Khamis ini.
Sedar hanya kemenangan di tempat sendiri mampu meletakkan Barcelona untuk berada dikedudukan selesa sebelum berkunjung ke Anfield, bekas pemain Barcelona, Gaizka Mendieta optimis skuad Ernesto Valverde itu mampu merealisasikan misi berkenaan.
Bagaimanapun, Mendieta akui Liverpool memiliki barisan pemain yang hebat, lalu mengingatkan para pemain Barca agar tetap menghormati lawan mereka itu.
“Barca tidak boleh takut kepada Liverpool, namun mereka [Barca] harus sentiasa menghormati lawan mereka,” kata Mendieta
Mendeita yang pernah menyertai Barcelona sebagai pemain pinjaman pada tahun 2002 menilai bahawa Liverpool kini tidak boleh dipandang sebelah mata, terutama selepas kelab itu tampil cemerlang khususnya di saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
“Apabila mereka telah mencapai tahap ini, dan melihat apa yang dilakukan Liverpool dalam Liga Perdana musim ini, saya fikir Klopp telah melakukan pekerjaan yang sangat luar biasa. ”
“Sudah tentu saya berharap Barca dapat menang [ke perlawanan akhir] dan memenangi piala itu lagi. Tetapi kita tahu betapa sukarnya Liga Juara-Juara, jadi mereka tidak boleh membuat kesilapan jika mereka mahu memenangi kejohanan ini.”
Apabila ditanya adakah Barcelona menjadi pasukan pilihan Mendieta berbanding Liverpool untuk memenangi perlawanan, ini jawab beliau:
“Tidak. Tidak ada pasukan untuk dilabelkan sebagai pasukan pilihan pada perlawanan ini. Saya rasa peluang mereka untuk menang masih 50-50.”
“Saya tidak fikir ada kelebihan apabila bermain di tempat sendiri, kerana kedua-dua pasukan akan mendapat peluang yang sama untuk bermain di tempat sendiri. Kedua-dua pasukan ini mempunyai gaya permainan yang berbeza dan mereka berada dalam kedudukan yang baik, jadi keadaan ini sangat baik untuk perlawanan ini.”