Menanti Matahari Membeku Selepas Final Piala Malaysia 2014

Dalam lipatan sejarah JDT sebagai sebuah kelab, 1 November 2014 kekal menjadi tarikh penting. Ia bukan tarikh yang menceritakan kejayaan JDT, sebaliknya ‘kegagalan’ JDT.

Jika memori anda memerlukan rangsangan, 1 November 2014 adalah tarikh Pahang bergelar juara Piala Malaysia secara dramatik. Dalam final yang tegang menentang JDT, Pahang muncul juara menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas terikat 2-2 dalam aksi 120 minit.

Kemenangan Pahang ini lebih manis buat penyokong Pahang (dan pengkritik JDT) kerana Pahang terpaksa beraksi dengan 10 pemain seawal minit ke-66. Pengadil Nagor Amir melayangkan kad merah kepada Saifulnizam ‘Poyeng’ Miswan selepas pertahanan Pahang itu mengasari Amri Yahyah. Bagaimanapun, di sebalik kelebihan pemain itu, JDT gagal menembusi pertahanan Pahang untuk mendapat insurans gol ketiga. Sebaliknya lima minit kemudian, Pahang pula yang berjaya menyamakan kedudukan menerusi persembahan individu hebat Dickson Nwakaeme. Perlawanan kekal terikat 2-2 selama 120 minit sehinggalah ke penentuan sepakan penalti. Pada saat kritikal inilah JDT menerima ujian terbesar sebagai sebuah kelab, apabila Norshahrul Idlan Talaha gagal menyempurnakan penltinya untuk menabalkan Pahang sebagai juara.

Mundar laju ke tahun 2023, sembilan tahun kemudian, JDT bukan sahaja telah meninggalkan Pahang (kini Sri Pahang) di belakang. Malah JDT era 2014 sendiri.

JDT kini memiliki stadium milik sendiri yang bertaraf dunia, fasiliti kelab setaraf kelab-kelab terbaik dunia, mendominasi arena bola sepak domestik selama sedekad, dan menjadi satu-satunya kelab Malaysia yang beraksi (secara kompetitif) di AFC Champions League. Transformasi dari kekecewaan 2014 kepada kemegahan 2023 merupakan testimoni impak kepimpinan yang berkesan – hasil visi DYAM Tunku Ismail Tengku Mahkota Johor (TMJ) – dalam bola sepak Malaysia.

Orang putih kata, “Hindsight is 20/20”. Kita hanya boleh nilai sesuatu dengan jelas hanya bila kita imbas kembali. Sejak 2013 lagi, TMJ telah menunjukkan segala apa yang baginda cakap dan lakukan mempunyai sebabnya. Kita kecilkan lagi skop persektif kita ke hujung bulan Oktober hingga November 2014 untuk nampak dengan lebih jelas.

Sejak 2013 lagi, TMJ menegaskan bola sepak Malaysia memerlukan presiden, pemimpin dan ahli gabungan yang ‘hands on’ untuk berjaya. Pada 2014, kita mungkin boleh dimaafkan jika kita tak nampak apa sebabnya presiden kelab kena ‘hands on’. Dalam satu contoh menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia 2014 menentang Felda United, TMJ masih sempat meluangkan masanya untuk bertugas sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor – walaupun pada ketika itu baginda sebenarnya sedang sibuk dengan urusan perkahwinan.

Usai menang tipis 6-5 menewaskan Felda United secara agregat, JDT layak ke final Piala Malaysia untuk bertemu Pahang di Stadium Nasional Bukit Jalil. Presiden-presiden kelab lain mungkin sedang sibuk dengan urusan final jika berada di tempat TMJ. Tetapi tidak bagi TMJ.

Belum pun habis final Piala Malaysia 2014, baginda telah pun selesai merencana pelan jangka masa pendek, sederhana dan panjang untuk JDT. Untuk pelan jangka masa pendek, empat pemain telah ditandatangani sebelum sepak mula final. Dua daripadanya – Farizal Marlias dan S. Kunanlan – menjadi tulang belakang JDT dalam kejuaraan Piala AFC setahun berikutnya. Untuk pelan jangka masa sederhana, TMJ melantik Ervin Boban dan Goran Paulic untuk membimbing skuad JDT II dan JDT III. Stadium juga dinaik taraf untuk musim 2015 dan musim berikutnya. Untuk pelan jangka masa panjang, TMJ memulakan reformasi program pembangunan akar umbinya menerusi perjanjian usahasama antara JDT dengan kilang prolifik pembangunan pemain di Jerman, Borussia Dortmund.

Usai final Piala Malaysia 2014, mentaliti rata-rata peminat bola sepak Malaysia masih lagi di takuk lama. Masakan tidak, ia adalah hasil dogma berdekad-dekad oleh autoriti bola sepak tempatan yang masih dibuai romantisme kemeriahan liga tempatan era 90-an. Salah satunya – mentaliti ‘pasukan hanya dianggap berjaya jika dianggotai oleh anak jati negeri’.

Sedekad masa yang diambil oleh JDT untuk mengikis mentaliti ortodoks ini dalam arena bola sepak moden di Malaysia. JDT menunjukkan cara, untuk menang di atas padang, anda perlu mendapatkan 11 pemain terbaik – waima dari negeri mana pun pemain tersebut lahir. Noktah. Dalam bola sepak moden, kebanggaan terulung sesebuah kelab adalah apabila kejayaan kelab dicapai oleh graduan akademi mereka, bukannya anak jati negeri. Arif Aiman, Feroz Baharudin, Daryl Sham, Aysar Hadi dan Ramadhan Saifullah antara graduan akademi JDT yang telah mengukir nama bersama skuad senior. Lebih banyak lagi nama-nama lain akan menyusul daripada akademi pertama yang menerima status Ahli Piagam Emas FAM ini.

Satu lagi mentaliti lapuk yang berleluasa selepas final Piala Malaysia 2014 adalah ‘pemain bintang pasti mendapat tempat kesebelasan utama’. Apabila JDT sekadar menamakan Norshahrul Idlan Talaha – pemain kebangsaan yang berstatus besar – sebagai pemain simpanan dalam final ini, satu Malaysia kecoh. Bekas ketua jurulatih Sarawak Awang Mahyan dipetik berkata, “Tindakan JDT ini hanyalah bersifat populis yang menyumbang kemerosotan bola sepak negara. Bayangkan mereka mengumpul sebuah pasukan kebangsaan tetapi masih gagal mencipta kejuaraan.”

Sedekad masa yang diambil oleh JDT untuk memberitahu kita – dalam sebuah pasukan bola sepak moden yang berjaya, anda harus berjuang untuk mendapat hak bermain. Status anda tiada makna. Gaji tinggi bukan jaminan anda akan dapat minit permainan.

Susulan kejayaan Pahang menjulang Piala Malaysia 2014, ganjaran RM2 juta diberikan kepada pemain-pemain mereka. Ini satu lagi mentaliti lama bola sepak kita sedekad lalu. Sasaran jangka masa pendek dijulang, sasaran jangka masa panjang dibuang.

TMJ menyimpulkan dengan baik sekali ketika dipetik berkata, “Tiada maknanya memenangi kejuaraan sekiranya tidak mempunyai pusat latihan yang baik dan kemudahan-kemudahan bertaraf antarabangsa. Tiada maknanya memenangi kejuaraan kalau pendedahan global kita amat terhad dan dunia tidak mengenali nama kita. Sekadar memenangi piala merupakan kegagalan kepada saya, kerana kita juga perlu cemerlang dalam setiap aspek yang tersebut.”

Menjawab ejekan pengkritik JDT, TMJ berkata, “Kepada segelintir individu yang masih tidak faham perbezaan antara kejayaan dan kemenangan, ianya membuktikan bahawa sifat kurang bijak itu tiada ubatnya.”

“Kepada mereka yang negatif yang berharap melihat kita gagal, mereka boleh terus menanti kerana ianya takkan berlaku, ibarat menunggu matahari membeku.”

Sehingga ke hari ini, dipercayai pengkritik JDT sedang menunggu matahari membeku.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN