Kegagalan Lubnan untuk merekodkan kemenangan selesa ke atas lawan mereka, Korea Utara dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan menghadiahkan Vietnam tiket ke pusingan 16 terbaik.
Lubnan perlu menjaringkan 4 gol untuk membolehkan mereka layak namun, kejayaan Korea Utara meledak 1 gol menyebabkan semakan rekod disiplin iaitu mata fair-play.
Lubnan menang 4-1 ke atas Korea Utara dalam aksi terakhir Kumpulan E, Piala Asia 2019 di Stadium Sharjah, UAE.
Korea Utara terlebih dahulu menjaringkan gol pada minit ke-9 sebelum Lubnan bangkit dengan empat gol. Kebangkitan yang mereka cipta tidak cukup apabila masih kekurangan satu gol.
Kedua-dua pasukan terikat dengan perbezaan jaringan -1 dan akhirnya Vietnam berjaya mengatasi Lubnan selepas hanya mengutip 5 kad kuning berbanding Lubnan dengan 6 kad kuning.
Kali terakhir wakil Asia Tenggara melepasi saingan peringkat kumpulan adalah pada edisi 2007 di mana pasukan yang sama iaitu Vietnam telah berjaya melangkah ke suku akhir.
Perubahan format pertandingan pada edisi kali ini menyaksikan Naga Emas perlu menang di pusingan selepas ini untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian pada edisi tersebut.
Vietnam dijadualkan akan turun menentang juara Kumpulan B, Jordan pada 20 Januari ini. Jordan belum pernah tewas dengan rekod dua kemenangan dan satu seri di peringkat kumpulan.
Kejayaan Vietnam mara ke pusingan seterusnya turut mendapat perhatian Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) dengan pujian kepada pasukan dan ketua jurulatih, Park Hang-seo.
FIFA turut memuji langkah dan polisi Persatuan Bolasepak Vietnam (VFF) untuk melantik jurulatih ‘import’ yang menurut mereka berjaya merubah nasib juara Piala AFF Suzuki 2018 itu.
Deretan kejayaan terhasil pada tahun lepas sehinggalah ke Piala Asia, di mana Naga Emas turut berjaya di peringkat kebangsaan selain skuad B-23 mereka pada tahun lalu.
Satu lagi wakil Asia Tenggara, Thailand yang lebih dahulu layak ke pusingan 16 terbaik pula akan menentang naib juara Kumpulan C dan naib juara edisi 2004 iaitu China, juga pada 20 Januari ini.
Selain Thailand, Vietnam, Jordan dan China, turut layak ke adalah Iran, Oman, Jepun, Arab Saudi, Korea Selatan, Bahrain, Qatar, Iraq, UAE, Kyrgyzstan, Uzbekistan dan juara edisi lalu, Australia.