Pengurus skuad Negeri Sembilan, K.Devan menyifatkan kemenangan pertama pasukan kendalian beliau baru-baru ini dalam perlawanan pertama Liga Super sebagai pembakar semangat buat anak-anak buahnya selain membantu untuk meningkatkan motivasi mereka bagi menghadapi perlawanan seterusnya dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) tahun ini.
Itu apa yang telah dirumuskan sendiri oleh beliau setelah melihat semangat juang anak buahnya yang mencatat kemenangan dalam aksi menentang Sabah pada Jumaat lalu di Stadium Likas.
Jelas beliau, walaupun anak buahnya hanya mencatat kemenangan tipis 1-0 dalam perlawanan tersebut, ia dilihat sudah memadai untuk membolehkan naib juara Liga Premier musim lalu itu meraih tiga mata penuh dari tempat lawan.
“Kemenangan pada aksi pembukaan liga itu adalah satu permulaan yang baik buat pasukan selaku pendatang baharu dalam saingan Liga Super musim ini.
“Saya yakin kemenangan itu boleh memberi impak positif dari segi motivasi pemain kerana cabaran selepas ini dijangka lebih sengit dan berliku.
“Kecemerlangan penjaga gawang, Ahmad Syihan (Hazmi Mohamed) dalam menyelamatkan beberapa percubaan merbahaya termasuk penalti yang diperoleh Sabah, membantu pasukan mendapatkan tiga mata,” katanya di sini, hari semalam menerusi Berita Harian.
Dalam masa sama, pengendali berusia 60 tahun itu juga tidak henti memberi pujian buat barisan pemain yang disifatkan berjaya menyerap asakan lawan dengan begitu baik sepanjang perlawanan selain fokus dan kerja keras yang tidak putus diberikan mereka dalam usaha menyekat kemaraan Sabah yang dilihat sebagai pasukan pilihan.
“Kita akan melakukan persiapan terbaik menjelang perlawanan seterusnya menentang Terengganu FC (TFC) di gelanggang lawan, 9 Mac ini,” katanya.
Khair Jones menjadi wira buat Negeri Sembilan sebelum itu dalam aksi pertama mereka menentang Sabah apabila bekas pemain Melaka United tersebut meledak gol tunggal perlawanan sekali gus sebagai gol kemenangan mereka pada minit ke-51.
Sabah yang ditunjangi ramai pemain bintang seperti Baddrol Bakhtiar, Dominic Tan, Khairul Fahmi Che Mat, serta pemain kebangsaan Indonesia, Saddil Ramdani gagal untuk memberi impak terbaik dalam perlawanan untuk menewaskan pendatang baharu Liga Super, Negeri Sembilan.
Selain itu, Devan juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan Negeri Sembilan yang telah melantik beliau selaku pengurus pasukan pada musim ini.