Winning Mentality! Itulah bahasa universal yang seringkali kita dengar dilaungkan oleh jurulatih yang hebat. Beberapa minggu lalu, Jose Mourinho ‘mengamuk’ kerana Ander Herrera sendiri mengakui mereka di dalam padang tidak ada karakter yang sepatutnya.
“Dia bercakap begitu dengan anda? Saya dengar tadi. Apa lagi saya nak katakan. Kami tidak layak menang dengan sikap seperti itu. Dia seharusnya pergi ke sidang media dan jelaskan tentang hal itu.”
Saksikan petikan sidang media ini:
Apabila mentaliti pemain sudah berada di paras rendah, mereka sudah lupa tujuan mereka bermain perlawanan tersebut.
Masalah ini sebenarnya sudah lama membarah dalam bola sepak Malaysia. Kita terlalu menekankan aspek larian, gelecekan, fizikal, duel, dan taktikal.
Tetapi ada tak program khas yang berterusan untuk membentuk pemain yang bermentaliti kuat ini?
Pembentukan mentaliti pemenang
Pembentukan ini harus bermula daripada peringkat awal. Ini kerana, ia adalah peringkat untuk membangunkan pemain dengan mentaliti yang betul di dalam padang.
Jika negara-negara Eropah, di peringkat akademi, mereka akan menekankan aspek mentaliti, disiplin dan tanggungjawab di dalam padang.
Adakah mentaliti ini boleh dibentuk?
Sudah pasti! Tetapi jangan terlalu lewat. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pemain harus diberitahu yang bola sepak ini bukanlah sukan bola dan gol. Ia lebih daripada itu.
Situasi perlawanan sebenar
Anda bertarung dalam suasana 22 pemain di dalam padang dengan pengadil sekali. Anda akan ditekan dengan banyak faktor. Pemain lawan mengasari anda secara berterusan. Keputusan pengadil tidak berpihak kepada anda.
Kad merah, kad kuning, bertengkar di dalam padang, kena marah dengan rakan sepasukan ataupun anda kecewa rakan anda tidak menghantar bola kepada anda.
Semua aspek itu mempengaruhi mentaliti di dalam padang. Bahkan ada pemain akan menurun mentaliti mereka ketika gagal menyempurnakan gol ataupun penalti.
Peranan jurulatih
Bagaimana anda sebagai jurulatih terutama sekali peringkat awal ataupuna akar umbi menyemai budaya mentaliti pemenang ini.
Adakah dengan menjerit di bilik persalinan: “Saya nak kita menang perlawanan ini!” Adakah ia akan membantu menaikkan mentaliti pemain?
Pada pandangan saya, ia lebih kepada ‘demanding’ ataupun menuntut daripada pemain. Ia sebahagian daripada aspek kejurulatihan di mana anda meminta sesuatu ataupun memberikan tekanan kepada pemain.
Tetapi jika tekanan itu terlalu kuat, anda akan membuatkan pemain menyampah. Ia tiada kaitan dengan membentuk winning mentality. Ia lebih kepada mahukan sesuatu daripada pasukan.
Perkara seperti ini yang kerap berlaku dalam persekitaran peringkat awalan bola sepak. Kita marah pemain yang menggelecek penjaga gol kerana dia tidak menjaringkan gol. Itu sudah membunuh kreativiti pemain.
Apa yang perlu kita lakukan adalah kita menjadi bola sepak itu seperti satu permainan konsol yang menarik. Pemain pada usia awalan ini mereka sukakan kebebasan, penghargaan. Mereka akan gembira jika anda berkata:
“Wah, tadi menggelecek macam Neymar. Skil itu dinamakan step over. Bagus! Lepas ini kita fokus kepada hantaran tepat pula.”
Ada ramai jurulatih awalan terlalu fokus kepada hantaran lintang yang tak tepat tetapi lupa memberikan kredit kepada ‘step over’ itu.
Kuatkan mentaliti
Apabila mereka sudah disemai dengan persekitaran yang sebegini, kita cuma betulkan perkara yang tidak betul, pemain secara semulajadi akan menikmati bola sepak.
Apabila mereka menikmati bola sepak, ketika ini kita boleh menyuntik banyak elemen lain dalam diri pemain.
Bola sepak adalah permainan yang semua mahu menang. Tetapi, walaupun dalam keadaan kalah ketinggalan 4 gol, adakah pemain kita masih berada dalam mentaliti yang terbaik?
Anda pasti pernah mendengar jurulatih berkata:
“Saya bangga walaupun ketinggalan pemain saya tetap berdisiplin dan cuba bangkit. Mereka mengikut taktikal yang kami sudah rancang. Tetapi malangnya kami tidak mampu menang sebab pasukan lawan lebih baik hari ini.”
Perkara yang penting untuk kita beritahu mereka terutama peringkat awalan, walau apa yang berlaku dalam padang, jangan sesekali bergaduh! Atau anda kehilangan tempat dalam pasukan.
Itu bukan ugutan, itu adalah memberitahu mereka yang ada sesetengah perkara adalah tidak boleh diterima. Seterusnya tanamkan disiplin pada mereka, walau apa berlaku dalam padang, sila hormati keputusan pengadil.
Perkara ini perlu disemai dalam pemain-pemain terutama sekali bawah 15 tahun.
Matlamat dalam padang
Lihat senario yang berlaku dalam negara kita. Apabila pemain sudah ketinggalan 2 atau 3 gol, ramai pemain sudah lari daripada tujuan mereka di dalam padang.
Misi utama adalah untuk menang. Dalam keadaan ketinggalan 3 gol di belakang pada separuh masa pertama, adakah mereka masih ingat misi asal itu? Ataupun fokus mereka kini memikirkan
“Ahh, perlawanan ini dah kalah, tunggu nak habis saja lah!”
Apabila perkara ini berlaku itu yang membuatkan banyak tindakan mereka adalah berdasarkan emosi yang tiada kaitan dengan bola sepak ataupun footballing reason.
Ada beza bentesan untuk menghadang kerana footballing reason dengan bentesan untuk mencederakan pemain lawan.
Misi itu tetap dipegang. Walaupun apa berlaku. Misi adalah untuk menang ataupun untuk membawa pulang mata. Ada beberapa perlawanan, anda seri pun anda dianggap pasukan yang mendapat keputusan lebih baik kerana anda bangkit daripada ketinggalan 3 gol. Jadi, pasukan lawan anda adalah yang ‘kalah’.
Survival dalam padang
Jika tentera ada latihan survival yang fizikal dan mencabar mental. Pemain bola sepak pun sama. Mereka harus ada satu metodologi latihan yang membolehkan mereka kekal ‘survive’ dalam apa jua keadaan. Walaupun bermain 9 orang.
Apabila fokus ini dapat dibentuk. Pemain akan boleh beraksi dalam apa jua keadaan. Musim lalu Arsene Wenger ditanya, kenapa Arsenal banyak mendapat keputusan yang baik dalam keadaan 10 pemain. Dan ada kalanya mereka nampak lebih baik dengan 10 pemain.
Arsene Wenger menggariskan isu mentaliti pemain yang lebih kuat dan mempengaruhi tanggungjawab mereka di dalam padang. Ini yang kita gelar semangat.
Pernah tak anda rasa seronok melakukan sesuatu walaupun di terik mentari? Ini kerana mentaliti anda menikmati detik itu. Saya ambil contoh anda bermain bola sepak pada 12 tengah hari ketika anda kecil.
Badan anda akan meneruskan aktiviti itu dengan cergas. Kerana mentaliti anda kuat dan menikmati bola sepak. Main petang-petang anda ketinggalan 10 gol pun tak kisah, anda masih mampu cuba melakukan skil flip flap kerana anda menjauhkan diri daripada tekanan.
Namun dalam perlawanan sebenar, anda akan diberikan tanggungjawab yang lebih tinggi tetapi jangan lupa untuk terus cuba keka dalam mentaliti untuk bermain supaya kaki anda tak kaku untuk menggelecek apabila dalam tekanan.
Bezakan pula dengan aktiviti yang anda tak gemar. Misalnya mengangkat meja dengan rakan-rakan yang ‘tak sama’ kepala dengan anda. Anda akan rasa ia sangat ‘berat’. Kerana mentaliti anda tidak menikmatinya.
Letih secara mental (mentally tired) itu lebih teruk daripada letih secara fizikal.
Manusia ada kapasiti dan kemampuan fokus mereka berdasarkan apa yang mereka lakukan. Jadi, kita pastikan pemain-pemain ini tahu cara untuk menggunakan potensi optimum mereka dalam aspek berkaitan mentaliti.
Apabila pemain sudah ada mentaliti yang menang dalam diri sendiri, tugas jurulatih seterusnya adalah membentuk unit yang memiliki mentaliti yang tinggi.
Mentaliti dalam pasukan akan dibawa ke peringkat perlawanan. Daripada perlawanan barulah ia akan kepada peringkat lebih tinggi termasuk memenangi piala dan juga beraksi dalam kejohanan tertinggi.
Jadi, jika mereka gagal membentuk mentaliti daripada diri sendiri, bagaimana mahu membentuk mentaliti dalam pasukan dan juga untuk menang perlawanan mahupun piala?
Ada beberapa jurulatih seperti Sir Alex Ferguson walaupun pasukan mereka menang, mereka tetap menekankan aspek disiplin dan mentaliti.
Mereka tetap akan menyatakan, pemain ini tidak sepatutnya bertindak sedemikian dan dia kurang fokus dalam padang, itulah sebab dia dikeluarkan.
Rumusan
Rumusannya, kita harus akui, ramai pemain profesional di negara kita tidak memiliki mentaliti pemenang yang betul. Ia bukan sekadar mentaliti untuk mendapatkan kemenangan semata-mata, ia lebih daripada itu.
Ada sesetengah pemain akan nampak kental ketika menang. Cuba pula ketika mereka kalah ataupun dalam keadaan pasukan mereka teruk mahupun ketinggalan.
Mentaliti yang ‘betul’ (correct mentality) ini yang membuatkan pemain seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi menjadi terbaik dunia.
Ronaldo, walaupun dia tidak lincah seperti dahulu tetapi fokus dia adalah untuk menjaringkan gol dan menerima bola dalam kotak penalti. Mentaliti itu akan kekal 90 minit ataupun selagi-lagi dia ada di padang.
Lionel Messi boleh berlari 90 minit tanpa henti kerana dia ada mentaliti yang kuat dan menganggap padang bola sepak itu adalah tempat yang menyeronokan.
Gary Lineker pernah mengkritik Raheem Sterling yang satu ketika dahulu minta berehat kerana banyak sangat perlawanan. Lineker berkata:
“Jika saya pada usia Sterling, saya boleh bermain bola sepak darip pagi sampai ke petang.” Itu adalah mentaliti!
Memiliki pasukan yang hebat tidak menjamin anda akan menang dalam perlawanan yang dianggap boleh menang, jika mentaliti anda tak betul.
Itu yang digariskan Jose Mourinho ketika Manchester United tewas kepada Huddersfield. Aspek mentaliti ini adalah perkara yang kita harus lebih pandang berat!