Anthony Martial kini sedang menikmati prestasi hebat dalam kariernya setelah berjaya menjaringkan enam gol buat Manchester United pada lima perlawanan terakhir dalam saingan Liga Perdana Inggeris.
Kecemerlangan yang ditunjukkan Martial mendapat perhatian bekas penyerang The Red Devils, Louis Saha yang menyifatkan Martial mempunyai landasan yang hebat bagi membantu Manchester United mencipta kejayaan.
Pemain bahagian serangan yang baru berusia 22 tahun itu mempunyai baki kontrak sehingga tahun 2020 dan kini dilihat menjadi pilihan Jose Mourinho untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama pasukan.
Menurut sumber Sky Sports, Martial sedang diintai beberapa kelab Eropah seperti Chelsea dan Juventus pada jendela perpindahan musim sejuk nanti.
Mengulas mengenai spekulasi tersebut, Saha beranggapan Martial kini berada di kelab yang betul untuk terus memperagakan aksi serta memberikan sumbangan berkesan buat pasukannya.
”Dia (Anthony Martial) seharusnya kekal kerana dia mempunyai landasan yang hebat.”
”Sudah tentu dia perlu untuk memahami perancangan masa panjang untuknya kerana ia adalah berkaitan karier peribadi, bukan hanya untuk kelab.”
”Sekiranya anda tidak bermain dengan baik, anda perlu ingat bahawa kelab akan menjual anda dan penyokong pula akan mula untuk ‘boo’ anda.”
”Tetapi ia tidak berlaku kepada Anthony (Martial), dia disayangi oleh peminat. Saya pasti dia juga turut disayangi pengurus (Jose Mourinho).”
“Ini merupakan satu pemahaman, membuat kompromi dalam beberapa cara, untuk memastikan pemain gembira dan mewujudkan landasan bagi memenangi trofi sekali lagi.”
Kali terakhir Manchester United meraih trofi adalah pada Liga Europa 2016/17 yang menyaksikan mereka berjaya menundukkan Ajax 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Sweden.