Memahami Peraturan FIFA Tentang Bola Dan Garisan Yang Mengesahkan Gol Kemenangan Jepun Ke Atas Sepanyol

Jepun Garisan Gol Piala DuniaFIFA

Gol kemenangan Jepun ke atas Sepanyol masih menjadi buah mulut peminat bola sepak di seluruh dunia. Bola hantaran Koura Mitoma kepada penjaring gol Ao Tanaka dilihat seolah-olah sudah keluar dari kawasan permainan.

Pengadil perlawanan Victor Gomes dari Afrika Selatan pada awalnya telah membatalkan gol berkenaan. Namun semakan pengadil bantuan video (VAR) telah menukar keputusan tersebut selepas membuat analisis yang memakan masa agak lama.

Berdasarkan paparan video dan gambar yang bertebaran di media sosial, timbul perdebatan dalam kalangan netizen sama ada gol tersebut patut disahkan atau tidak.

Bagi menentukan perkara ini, semua pihak wajar meneliti perkara yang pun termaktub dalam kitab Peraturan-Peraturan Permainan (Laws of the Game) oleh Lembaga Persekutuan Bola Sepak (IFAB) menerusi Peraturan 9: Bola masih dalam dan keluar dari permainan.

1. Bola keluar dari permainan

Bola dikira keluar dari permainan apabila:

  • Keseluruhan bola telah melepasi garisan gol atau garisan padang sama ada di atas padang atau di udara.
  • Permainan dihentikan oleh pengadil

2. Bola masih dalam permainan

Bola dikira masih dalam permainan pada masa-masa lain, termasuk apabila ia melantun pada pengadil perlawanan, tiang gol, palang gol, tiang penjuru dan kekal di dalam padang permainan.

Ball in or out of play

 

Peraturan ini tidak jauh berbeza dengan Peraturan 10 tentang Jaringan gol iaitu Menentukan Keputusan Perlawanan yang jelas menunjukkan bahawa keseluruhan bola perlu melepasi garisan gol. Sekiranya sebahagiannya walaupun seinci masih di atas garisan, gol tidak boleh dikira atau disahkan.

“Gol akan dikira apabila seluruh bola melepasi garisan gol, di antara dua tiang dan di bawah palang gol, dengan syarat tiada sebarang kesalahan dilakukan oleh pasukan yang menjaringkan gol.”

Semuanya BOLA ada membincangkan perkara ini pada minggu lalu mengenai jaringan gol Terengganu ke atas Selangor dalam aksi separuh akhir kedua yang dikira oleh pengadil meskipun ulang tayang menunjukkan bola masih tidak melepasi garisan sepenuhnya.

Kontroversi Gol Terengganu, Bagaimanakah Peraturan Garisan Gol Menurut Ketetapan FIFA?

Akan tetapi, teknologi garisan gol (goal line technology – GLT) hanya diguna pakai untuk menentukan situasi bola di dalam gawang kerana alat pengesan hanya dipasang di tiang dan palang gawang gol.

Berbeza pula dalam menentukan jaringan Jepun ini, VAR perlu membuat keputusan berpandukan ulang tayang dan membuat analisa secara manual dan sudut kamera yang berada tepat di garisan belakang gol akan digunakan bagi membuat penilaian.

Ia turut disokong oleh pengadil berpengalaman, Peter Walton yang menjelaskan kontrovesi berkenaan. Menurutnya dari pandangan mata kasar, bola mungkin kelihatan sudah keluar dari permainan, tetapi disebabkan bola berbentuk sfera, sebahagian bola masih berada di atas garisan.

“Saya juga melihat sudut yang sama dengan anda. “Di sana terdapat salah faham mengenai peraturan yang sebenarnya telah menjelaskan tentang sebahagian bola yang masih berada di atas garisan tidak dikira keluar,” ujar Walton.

“Kita akan lihat gambaran yang lebih jelas dari FIFA, tetapi peraturan ini telah termaktub secara khusus, bola masih dalam perlawanan walaupun keadaan bola yang melengkung itu seolah-olah berada di luar garisan.”

Leave a Reply