Tempo permainan merujuk kepada rentak permainan sesebuah pasukan. Tempo biasanya dibahagikan kepada 2 perkara
1. Kelancaran
2. Kepantasan
Kelancaran
Kelancaran merujuk kepada rentak pasukan yang lancar. Biasanya pengulas akan menyatakan sesebuah pasukan itu ‘settled down’. Ataupun sudah menemui rentak.
Tempo yang lancar akan membuatkan sesebuah pasukan itu mengalirkan bola dan bergerak dengan baik ataupun fluid.
Kepantasan
Aspek kedua adalah kepantasan ataupun intensiti. Ini merujuk kepada sifat tempo permainan itu sama ada ianya dimainkan secara pantas/intensif ataupun sebaliknya.
Tempo intensif bermaksud tempo pantas dan bertenaga.
Bola sepak adalah sukan yang memerlukan tenaga dan kepantasan. Jadi, semakin intensif tempo sesebuah pasukan semakin bahaya ancaman yang mereka hadirkan.
Oleh itu fokus perbincangan artikel kali ini lebih condong kepada Tempo intensif dan kepentingannya dalam taktikal bola sepak
Sejak dahulu lagi pemain yang laju ataupun unit pasukan yang laju akan memiliki nilai yang tinggi.
Sama ada dari segi nilai pasaran pemain ataupun nilai dari aspek kesukanan.
Pada hari ini pemain termahal di dunia Neymar adalah pemain yang laju. Kylian Mbappe, Ousmane Dembele, Mo Salah, Cristiano Ronaldo, Gareth Bale, Lionel Messi antara nama yang memiliki nilai harga yang sangat tinggi.
Dalam dokumentari Manchester City, All Or Nothing, Pep Guardiola menyatakan kerisauan beliau ke atas trio Liverpool, Salah-Firmino-Mane.
Aspek yang ditekankan Guardiola adalah kepantasan dan kelajuan mereka dan beliau menyatakan dia tiada jaminan penyelesaian penuh kepada masalah untuk mengekang trio ini.
Trio ini laju secara unit dan 2 pemain iaitu Mane dan Salah dinyatakan Pep Guardiola laju secara teknikal.
Dahulu di Barcelona, Pep Guardiola ada Lionel Messi yang sangat laju dengan bola di kakinya.
Jadi, bahagian tertentu ataupun individu yang laju ini tidak akan membentuk tempo permainan secara total. Mereka perlukan pasukan.
Membentuk tempo yang lancar dan laju
Jadi bagaimanakah sesebuah pasukan itu membentuk tempo permainan yang laju dan lancar?
Adalah mustahil untuk pemain bola sepak sentiasa bergerak pantas 90 minit dalam padang. Dan mustahil untuk jurulatih mencari 11 pemain yang laju untuk membentuk pasukan.
Jurgen Klopp pernah menyatakan beliau tidak gemar dengan Mo Salah yang terlebih banyak berlari.
Lalu beliau menyuruh Salah mengurangkan larian yang tak perlu. Itu yang berlaku pada Leroy sane di Man. City. Pemain yang kerap kelihatan statik di satu zon dan hanya menjana gerakan pantas pada masa tertentu yang tajam.
Jadi, intensiti tempo permainan ini memerlukan pemain berada dalam kedudukan yang terbaik untuk menyokong setiap pemain lain.
Kefahaman ke atas struktur dan formasi juga sangat penting. Musim ini kita banyak melihat Arsenal cuba mengadaptasi gaya permainan baru di bawah Unai Emery.
Misalnya dalam perlawanan menentang West Ham, mereka berasaskan 4-2-3-1, dalam keadaan menyerang mereka akan membentuk 3-4-3 ataupun 3-2-3-2.
Ketika bertahan mereka akan cuba membentuk 4-4-2 ataupun 4-1-4-1. Itu antara contoh bagaimana formasi permainan akan membantu untuk mengekalkan tempo.
Pasukan yang baik biasanya akan menemui rentak ataupun tempo mereka sekitar 10-15 minit pertama. Ataupun kurang daripada itu.
Jika pasukan itu gagal menemui rentak untuk tempoh yang lama, gaya permainan mereka akan bermasalah.
Latihan
Untuk membentuk sebuah pasukan yang bertempo laju dan lancar anda memerlukan latihan intensif secara sistematik.
Persefahaman antara pemain termasuk meningkatkan komunikasi telepatik.
Pemain perlu dibekalkan dengan kefahaman taktikal dan gerakan tanpa bola yang tajam. Aspek transisi, pertukaran posisi (shifting) juga perlu diberikan perhatian.
Rumusan
Tempo sangat penting dalam taktikal bola sepak. Ini kerana ia akan menjadi tunjang kepada perlaksanaan taktikal.
Ia memerlukan kerja berpasukan untuk mencapai tempo yang dikehendaki terutamanya tempo yang pantas.
Komitmen sahaja tanpa komunikasi dan persefahaman tidak akan menjamin anda membentuk tempo yang lancar dan intensif.
Ia memerlukan kesemua aspek permainan berpasukan dilaksana dengan sebaik mungkin setiap pemain.
Kelajuan (pace), kecergasan dan permainan berpasukan adalah asas yang sangat penting untuk menggerakkan tempo yang intensif dan bertenaga.