Dalam satu temu bual eksklusif Astro Arena dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ), ada berbicara tentang isu suar.
Penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) telah didapati membakar suar selepas aksi Piala FA yang menyaksikan mereka menang 3-0 ke atas PDRM di Iskandar Puteri. JDT mara ke pusingan 16 terbaik untuk bertemu Penang.
TMJ tidak pasti mengapa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak membenarkan perkara tersebut sedangkan ia banyak dilakukan di luar negara. Beliau memberi contoh situasi di Serie A di mana adakalanya dapat dilihat para penyokong membakar suar dalam sesuatu perlawanan.
Walaubagaimanapun, pemilik JDT itu memahami larangan tersebut dan ‘redha’ jika pasukannya didenda oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM nanti.
Disamping itu, beliau berharap yang dendanya tidak terlalu besar kerana sedar ia adalah kesalahan ketiga penyokongnya didapati membakar suar.
The flares have been fired up to celebrate JDT’s victory over Sabah. pic.twitter.com/utjEwPsGt3
— MakanBola (@makanbolaplus) April 1, 2023
TMJ bersedia untuk didenda FAM
“Ya, sudah tentu akan kena denda. Dan denda tersebut pun saya rasa akan meningkat kerana dah tiga kali penyokong saya membakar suar,” ungkapnya mungkin merujuk kepada tiga perlawanan yang berlaku pembakaran suar.
“Walau macam mana pun, denda tu sudah tentu saya kena. Saya pun sudah biasa kena denda sejak dari tahun 2013. Benda ni normal,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, mereka pernah didenda oleh FAM iaitu pada musim 2018 apabila penyokong didapati membakar suar ketika berdepan Kelantan. JDT melalui Persatuan Bolasepak Johor (PBNJ) telah didenda sebanyak RM15,000 dan turut diberi amaran keras agar tidak mengulanginya.
Pada ketika itu dalam aksi Piala Malaysia yang dilangsungkan di Stadium Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, penyokong tuan rumah didakwa telah membakar 25 batang suar ketika perlawanan berlangsung di stadium.
Untuk musim ini, mereka telah tiga kali membakar suar selepas perlawanan iaitu ketika berdepan Sabah, Kedah Darul Aman dan yang terkini, PDRM.
Difahamkan penyokong JDT iaitu Boys of Straits (BOS) telah meminta kebenaran daripada TMJ untuk membakar suar pada malam tersebut. Mungkin disebabkan itu, beliau tenang apabila disoal mengenainya.
Malah, beliau dilihat tersenyum sambil mengharapkan jasa baik untuk denda yang dikenakan Jawatankuasa Tatatertib FAM tidak terlalu tinggi.
Kesalahan dalam Kod Tetatertib FAM
Membakar suar adalah satu kesalahan dan melanggar peraturan Artikel 70 Kod Tatatertib FAM yang turut melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium yang membolehkan pasukan didenda.
FAM akan meneliti laporan oleh Komisioner Perlawanan dan Pengadil Perlawanan selepas perlawanan serta akan mempertimbangkan kes itu berdasarkan kepada beberapa perundangan sebelum hukuman dijatuhkan.
Selain merujuk kepada Artikel 70 Kod Tatatertib FAM, Jawatankuasa Tatatertib turut akan merujuk kepada Artikel 52 (c) Peraturan Perlindungan dan Keselamatan Stadium FIFA mengenai suar dan bahan api di stadium.
TMJ mengakui beliau kurang faham mengenai situasi ini disebabkan di luar negara, para penyokong dilihat seperti dibenarkan untuk membakar suar.
“Saya pernah mempersoalkan benda ni kepada FAM. Mereka kata undang-undang FIFA tidak benarkan membakar suar. Mungkin saya silap. Tetapi apabila saya tengok kejohanan-kejohanan di Eropah macam di Serie A, semua ada bakar suar,” ulasnya lagi tentang isu tersebut.
Beliau akan mendalami lebih lagi tentang perkara ini untuk lebih jelas.
Suar adalah barang terlarang di stadium
Begitupun, sebenarnya, setelah pembacaan lanjut dilakukan, aktiviti-aktiviti pembakaran suar di stadium luar negara sebenarnya adalah secara haram.
Tiada stadium yang membenarkan pembakaran suar dilakukan di stadium.
Jadi, mungkin sebagai orang luar – kita termasuklah TMJ tersalah erti tentang suar apabila setiap kali menonton aksi di stadium luar negara.
Kita boleh merujuk kenyataan oleh Ketua Polis Cheshire mengenai insiden pembakaran suar selepas final FA Cup antara Liverpool dan Chelsea.
Sebelum itu, terdapat beberapa lagi insiden yang sama berkaitan suar antaranya ketika perlawanan Premier League antara Everton dan Chelsea.
Richarlison hurls a flare into the Everton crowd #EVECHE pic.twitter.com/VGPEvOzssL
— HK (@5hk) May 1, 2022
“Penggunaan suar di stadium adalah haram dan pihak yang menggunakan perlu faham akan risiko keselamatan dan kesihatan penyokong lain,” ujarnya.
“Suar sangat panas dan dalam tempoh beberapa tahun di UK dan luar negara terdapat penyokong yang mati disebabkannya. Terdapat juga insiden di mana penjaga garisan dan kanak-kanak yang tercedera,” tambah Ketua Konstabel Mark Roberts tentang isu suar yang semakin menular di stadium mereka.
Mereka turut telah membuat empat tangkapan disebabkan insiden tersebut.
Apa yang diperkatakan oleh Roberts itu ada benarnya. Dalam salah satu kajian berdasarkan video pembakaran suar dalam aksi Leicester City di Champions League pada 2016, suhu suar yang dibakar mencecah 555°C.
Bagaimana ia boleh ‘dihalalkan’ di Bundesliga?
Pada Februari 2020, badan induk bola sepak Jerman, DFB telah memberi kebenaran kepada penyokong Hamburg SV untuk ‘pyroshow’ – secara terkawal. Sebanyak 10 bom asap digunakan dalam eksperimen ini.
Eksperimen ini dilakukan untuk melihat kepada potensi kebenaran buat penyokong mengekspresi sokongan kepada pasukan menerusi ‘pyroshow’ menggunakan bom asap. Ia dikawal selia oleh pihak berpengalaman.
Pengerusi HSV, Bernd Hoffmann sentiasa mencari solusi kepada perkara ini agar penyokong dan pihak berkuasa dapat menemui titik persetujuaan.
Legal pyrotechnics? Hamburg given green light to use "legal pyro" for the first time this weekend.
Story for @dw_sports:
#HSV#2BL #Bundesliga https://t.co/WJJNxKs9hg
— Matt Ford (@matt_4d) February 4, 2020
Ini kerana, HSV merupakan pasukan yang menerima denda tertinggi di Bundesliga akibat perkara ini pada musim sebelumnya – RM1.4 juta.
Dikhabarkan eksperimen ini berjaya, namun ia masih belum dibenarkan.
Dua tahun kemudian, Presiden Wender Bremen, Hubertus Hess-Grunewal dilihat seperti memberi sokongan terhadap ‘pyroshow’ secara terkawal.
Ini diikuti dengan pandangan daripada Presiden Hertha Berlin, Kay Bernstein pula agar zon ‘pyroshow’ dapat diwujudkan di stadium-stadium Bundesliga.
Tetapi, bak kata DFB tentang isu ini, “Ini hanyalah kelulusan ‘one-off’ sahaja.”
Kenapa perlu bakar suar dalam bola sepak?
Di Eropah, pembakaran suar atau pun ‘pyroshow’ umpama satu tradisi lama dalam bola sepak di kalangan Ultras terutamanya. Ia adalah untuk menjana suasana keraian dan mempamerkan sokongan terhadap pasukan mereka.
Salah satu elemen dalam Ultras adalah pyro yang melibatkan suar atau bom asap. Selain itu, terdapat elemen lain seperti corteo, chant dan tifo.
Adakah ia satu keperluan? Di pihak Ultras, dikatakan inilah cara mereka mempamerkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pasukan yang disokong. Di pihak pengurusan stadium, tentunya keselamatan penyokong lain seperti wanita, kanak-kanak dan golongan berisiko perlu diambil kira.
14 seconds in and Rennes Ultras are on the pyro. Don’t know what the point of those double searches at the entrance were for #SRFC pic.twitter.com/WmDKPNFD1g
— Eli (@ElMengem) March 14, 2019
Malah suar atau bom asap itu diseludup ke dalam stadium – secara haram.
Daripada situasi itu pun kita boleh mencerna yang suar adalah diharamkan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Penyokong Bola Sepak (FSA), Kevin Miles, “Sama ada ia bermaksud positif atau tidak, ia tidak releven di mata undang-undang. Pyro dan pencerobohan padang adalah salah – anda akan didakwa dan diharamkan masuk ke stadium oleh kelab anda.”
Selain itu, menurut Inspektor Craig Berry, daripada Unit Bola Sepak di Nottinghamshire, penyokong yang didapati menyeludup masuk bahan terlarang seperti suar akan dilarang memasuki stadium untuk tempoh paling kurang lima tahun. “Mesejnya jelas, barang itu adalah berbahaya dan tidak dialu-alukan di stadium,” jelasnya kepada portal The Athtletic.
Malah UEFA sendiri pernah mengakui, walaupun diharamkan tetapi sukar untuk mereka membendungnya. Waima terdapat pegawai yang membuat pemeriksaan badan dan beg di pintu masuk, ia tetap berjaya dibawa masuk.
Jadi, ini bukan tentang kenapa seolah-olah pembakaran suar dibenarkan di stadium luar negara tetapi ia gambaran penguatkuasaan yang gagal. Bukan sahaja ia gagal di sana, malah di mana-mana sahaja aksi itu berlaku.
Mungkin ini adalah jawapan kepada persoalan TMJ tentang suar dalam temu bual tersebut. Mungkin juga beliau boleh memulakan inisiatif seperti di Bundesliga dalam usaha cuba mendapatkan kelulusan daripada badan induk bola sepak Malaysia selepas ini. Kalau tak cuba, kita takkan tahu.