Melanjutkan Tempoh PKP 2.0 Mungkin Boleh Buat ‘Harimau Menangis’ Lagi

Harimau Malaya menangis peluk PKP

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan semula sejak 12 Januari hingga 26 Januari 2021 telah menyebabkan Latihan Pusat skuad negara tertangguh.

Sudah lebih setahun skuad negara tidak berlatih bersama dan sekiranya PKP yang dilaksanakan untuk tempoh dua minggu ini dilanjutkan lagi, mungkin ianya boleh buat ‘Harimau Menangis’. Manakan tidak, musuh terdekat dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Vietnam sudah giat menjalani latihan.

Kepentingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia kali ini

Kenapa Vietnam giat menjalani latihan walaupun dunia sedang melalui tempoh sukar berdepan pandemik COVID-19? Selain Piala Dunia, tiket ke Piala Asia amat penting buat mereka kerana mereka mungkin boleh melayakkan diri buat kali kedua berturut-turut ke kejohanan tersebut jika melepasi peringkat kumpulan.

Ketika ini mereka mendahului aksi Kumpulan G dengan 11 mata yang juga didiami Malaysia yang berada di kedudukan kedua dengan kekurangan dua mata. Naga Emas akan bertemu Harimau Malaya dalam perlawanan seterusnya dan kemenangan bakal mengukuhkan lagi takhta mereka, sementara Malaysia akan bergelut.

Saat ini, Vietnam di bawah kendalian Park Hang-seo menjalani kem latihan pusat dan telah melalui dua perlawanan persahabatan menentang skuad B-22 tahun mereka. Sekurang-kurangnya mereka telah mula memanaskan enjin mereka, sedangkan skuad negara pula berterusan tidak dapat berlatih, malah bermain bersama.

Juara kumpulan akan mendapat tiket automatik ke Piala Asia. Skuad kendalian Tan Cheng Hoe memiliki peluang terbaik untuk melayakkan diri kali ini. Skuad negara dilihat ampuh dan dibarisi pemain-pemain yang memiliki karekter juara.

Pusingan kelayakan dijangka bakal bersambung semula pada Mac depan dan skuad kebangsaan memerlukan latihan bersama dan mungkin satu atau dua aksi pemanas badan untuk memantapkan pasukan. Jika tidak, tempo baik yang dicipta di awal pusingan tempohari akan terencat menjelang Mac depan.

Kenapa Harimau Menangis lagi?

Sebelum ini, Harimau Selatan yang ‘menangis’ kerana tidak dibenarkan untuk ‘terbang’ ke Qatar oleh pihak kerajaan untuk meneruskan baki saingan peringkat kumpulan AFC Champions League 2020. Ketika itu, Johor Darul Ta’zim (JDT) telah melalui dua perlawanan dengan rekod satu menang dan satu kekalahan.

JDT sedang menduduki tangga kedua dengan tiga mata, tiga mata di belakang pendahulu Kumpulan G, wakil J-League, Vissel Kobe yang menang ke atas JDT dan wakil Korea Selatan, Suwon Samsung Bluewings. JDT pula merekodkan kemenangan tipis 2-1 ke atas Suwon Samsung Bluewings dalam aksi kedua.

Apabila saingan kembali bersambung pada 22 November lalu yang dijalankan di Qatar, JDT tidak mendapat kebenaran untuk pergi dan semua perlawanan yang melibatkan JDT dianggap batal. JDT dalam pada itu mengeluarkan kenyataan yang mereka patuh kepada arahan kerajaan yang melarang mereka keluar.

Menurut kenyataan oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, “Walaupun kami sangat kecewa tidak dapat mengambil bahagian dalam kejohanan tertinggi kelab peringkat Asia dan juga Piala Malaysia, kami menghormati keputusan Kerajaan Malaysia dan memahami tindakan atas faktor keselamatan ini.”

Jika dilihat, Harimau Selatan berpeluang meninggalkan impak di saingan Champions League tempohari kerana saingan disambung dalam bentuk karnival dan setempat di Qatar. Vissel Kobe yang cukup ampuh pun tampak bergelut meneruskan aksi.

Adakah PKP akan dilanjutkan?

Jika dilihatkan trend peningkatan jangkitan COVID-19 di Malaysia dalam beberapa hari ini, telah berlaku peningkatan mendadak sehingga mencecah ke lebih 4,000 kes sehari. PKP untuk tempoh dua minggu tidak akan mampu untuk melandaikan graf tersebut dan dijangkakan PKP akan terus dilanjutkan untuk satu tempoh yang panjang.

Jika ia dilaksanakan untuk satu tempoh yang panjang, Malaysia berpeluang untuk kembali ke sifar kes semula. Masih ingat tempoh PKP yang dilalui sebelum ini? Dalam tempoh tiga bulan, Malaysia berjaya menurunkan graf jangkitan sehingga ke dasar graf dan ada ketikanya Malaysia telah merekodkan sifar kes jangkitan harian.

Dengan proklamasi darurat sehingga Ogos 2021, mungkin itu petanda yang PKP boleh berlanjutan sehingga ke bulan itu, jika kes masih tiada perubahan ketara.

Jika PKP terus dilanjutkan sehingga ke satu masa yang lebih panjang, skuad negara berkemungkinan akan kempunan untuk meneruskan baki saingan kelayakan tersebut.

Harap FAM mengusahakan sesuatu

Menurut Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Satiananthan, beliau mengharapkan agar Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengusahakan sesuatu untuk diusul kepada kerajaan untuk membolehkan skuad negara berlatih.

Memetik kenyataannya di Sinar Harian mengenai penangguhan latihan skuad negara, “Bagi saya, kem latihan pusat itu penting, apatah lagi para pemain kebangsaan tidak berlatih bersama lebih setahun. Jadi mereka perlu segera membentuk keserasian.Tak salah rasanya jika kita menghantar pasukan berlatih di luar negara buat seketika.”

“Mungkin ia satu keputusan yang wajar untuk benarkan mereka berlatih di luar negara, jika tidak boleh berlatih di sini. Namun, saya percaya FAM masih mampu menangani masalah ini. Apa yang penting, para pemain kebangsaan dapat berlatih bersama sebelum aksi kelayakan tersebut,” tambah Satiananthan lagi mengenainya.

Jika PKP dilanjutkan tidak mustahil harimau akan menangis lagi. Jika sebelum ini Harimau Selatan, mungkin kini giliran Harimau Malaya pula ‘menangis’, kesan daripada arahan PKP oleh pihak kerajaan ini. Jadi, apa yang mampu kita harapkan lagi?

KREDIT FEATURED IMAGE: PINTEREST

Baca lagi artikel mengenai skuad kebangsaan:

Kem Latihan Pusat Skuad Kebangsaan Dibatalkan Susulan Pengumuman PKP

Tan Cheng Hoe Buat Penstrukturan Semula Pemain Harimau Malaya

Media Thailand Cuba Tilik Pemikiran & ‘Kekecewaan’ Tan Cheng Hoe

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN