Quantcast

BERITA

Melaka United Nafi Safiq Rahim Bakal Sertai Kedah

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai laporan bekas kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim bakal menyertai skuad Helang Merah selepas pintu perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka pada minggu lepas.

Bagaimanapun, setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Farhan Ibrahim, menafikan pihaknya akan melepaskan pemain tersebut kerana tiada sebarang rundingan yang dibuat antara MUSA dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA).

Malah, beliau turut mengesahkan bekas pemain skuad kebangsaan itu akan kekal bersama Melaka United sehingga akhir musim ini.

“Dengan ini saya mengesahkan Safiq akan terus bersama Hang Tuah sepanjang musim ini. Ia berikutan kelibatnya nyata memainkan peranan besar dalam perjalanan pasukan di bawah kendalian jurulatih, Zainal Abidin Hassan.

“Pastinya kemantapan pasukan akan terjejas tanpanya di barisan tengah, tambahan keserasiannya bersama rakan sepasukan kian menyerlah,” katanya dalam Berita Harian.

Empat pemain Melaka United setakat ini telah dipinjamkan kepada pasukan di Liga Super dan Liga Perdana iaitu G Gopinathan ke PDRM, Wan Shukri Wan Ahmad dan Anselmo Casagrande (Pulau Pinang), Nurshamil Abd Ghani (Selangor United) serta Darko Markovic (Kuala Lumpur).

Kedah ketika ini memerlukan perancang tengah yang berwibawa selepas pemain import pasukan itu, Ammar Al-Mubaraki sering mengalami kecederaan dan tidak dapat beraksi dalam beberapa perlawanan.

Kapten pasukan, Badddrol Bakhtiar bagaimanapun sedia menerima kehadiran Safiq sekiranya pihak pengurusan sudah membuat keputusan mereka untuk membawa masuk bekas pemain terbaik Piala AFC 2015 itu.