Pemain tengah import, Liridon Krasniqi berdepan risiko disingkirkan daripada skuad Melaka United apabila Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Wira Yusoff Mahadi membayangkan akan mencari pemain lain jika masalah kecederaan yang dialami gagal dipulihkan.
Difahamkan pemain dari Kosovo itu mengalami masalah otot peha dan perlu mendapatkan rawatan di Jerman. Bagaimanapun, Yusoff Mahadi menjelaskan pihaknya perlu memantau perkembangan pemain tersebut kerana ia turut melibatkan tahap kecergasannya.
“Saya masih belum pasti memandangkan rawatan itu pasti memberikan kesan terhadap kecergasannya. Kami masih memantau tetapi belum sampai ke tahap mahu menggugurkannya.
“Kami perlu melihat keadaannya selepas menjalani rawatan itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan lain,” katanya dalam Stadium Astro.
Bagaimanapun, laporan daripada Stadium Astro turut menyebut Yusoff tidak menolak dia perlu memikirkan kemungkinan untuk mencari pengganti Liridon memandangkan jendela perpindahan kedua semakin hampir.
Jika Liridon didapati tidak cergas menjelang aksi dengan Perak, dia mungkin sudah tahu kemungkinan yang akan dihadapinya nanti.
“Kami sentiasa bersedia untuk mengambil sebarang tindakan yang diperlukan.
“Jika keadaan Liridon masih tidak mengizinkannya untuk diturunkan beraksi, kami perlu memikirkan perancangan lain.
“Kami tidak mahu kehilangan seorang pemain seperti itu akan merencatkan peluang pasukan ini untuk beraksi lebih baik,” jelasnya.
Melaka United kini berada di kedudukan ke 5 dalam carta Liga Super selepas mengumpulkan 10 mata dalam 6 perlawanan hasil daripada 3 kemenangan dan 1 keputusan seri.