Pasukan baharu dalam saingan Liga M3 2020, Kelab Bolasepak Melaka United (Melaka United FC) mahu menggunakan pertandingan tersebut sebagai pentas dalam usaha mengetengah serta menggilap bakat baharu bola sepak di sekitar negeri Hang Tuah itu.
Menurut pemilik kelab, Yang Berhormat (YB) Damian Yeo Shen Li yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) menegaskan amat jelas buat Melaka United FC untuk melahirkan pemain dari peringkat akar umbi.
“Kelab ini ditubuhkan untuk menghasilkan darah baharu seperti apa yang selalu disebutkan sebagai misi 04, iaitu misi akar umbi untuk melahirkan pemain-pemain muda.”
”Buat masa ini kita bermain di Liga M3 selain Piala FA dan kebanyakan pemain adalah dari kelab SAMB FC. Namun ia mungkin boleh dijadikan sebagai feeder [untuk Melaka United] setelah melalui proses tertentu nanti.”
”Saya tidak suka jalan pintas majukan bola sepak Melaka dan saya akan bentuk (bola sepak Melaka) dengan acuan sendiri bukan tiru kelab-kelab yang kaya,” ujar Damian kepada Bernama.
Melaka United FC yang bakal dibimbing bekas pemain Melaka, Azizan Baba akan bersaing bersama 19 pasukan lain dalam saingan Liga M3 2020 dan dikhabarkan juga pendaftaran kelab itu sudah pun diluluskan.
Selain Liga M3, Melaka United FC turut akan bersaing dalam saingan Piala FA menempah pertemuan menentang Ikram Muda FC pada pusingan kelayakan.