Merungkai Projek Melaka United Yang Kurang Memuaskan Daripada Jangkaan

Ketika pengurusan Melaka United membuat keputusan untuk memecat Mat Zan Mat Aris, ia agak kejam bunyinya.

Mana tidaknya, apabila Mat Zan berjaya membantu Melaka naik ke Liga Super secara terus (straight) dalam 2 musim berturut-turut.

MUSA sendiri, musim lalu memberitahu Mat Zan menyelesaikan urusan untuk naik ke Liga Super lebih awal daripada yang mereka jangkakan.

Mat Zan akhirnya digantikan dengan Eric Williams atas dasar mahu upgrade kualiti kejurulatihan mereka.

Ramai penyokong mulai menerima alasan itu. Mat Zan mungkin tidak cukup bagus untuk memandu skuad itu sebagai pencabar kejuaraan domestik.

Daripada cara perbelanjaan mereka awal musim memang MUSA sedang merancang untuk menjadi pasukan pencabar utama kejuaraan domestik.

Dalam 2 bulan terakhir musim lalu, Mat Zan mendedahkan MUSA hanya berdiam diri tentang isu masa depan beliau.

Nak kata masih nakkan Mat Zan pun tidak, nak kata sudah tak nak Mat Zan pun tidak. Itulah layanan MUSA kepada jurulatih yang dalam proses mengembalikan Melaka ke pentas liga utama.

Namun yang pasti komitmen Mat Zan tidak pernah berubah. Orang nak atau tak nak, beliau melaksanakan tugasan 2 bulan terakhir seperti biasa dan Melaka juara MPL serta layak ke Liga Super 2017.

Ianya kerana tanggungjawab dan juga demi penyokong setia pasukan Melaka.

Pengurusan MUSA

Tidak lama kemudian, MUSA mengesahkan mereka sudah ada calon pengganti Mat Zan.

Mat Zan Mat Aris pernah dijulang sebagai wira Melaka united.

Dari segi kredibiliti agak sukar untuk membandingkan Eric Williams dan Mat Zan. Namun saya percaya, Mat Zan berhak kekal di Melaka sekurang-kurangnya separuh musim setelah apa yang beliau lakukan.

Jika Melaka berada di landasan yang tersasar daripada jangkaan, maka bolehlah Mat Zan dipecat. Namun cara ini mungkin merugikan bagi MUSA yang terpaksa membayar baki kontrak Mat Zan.

Malangnya mereka juga terpaksa menebus nilai kontrak yang lebih besar untuk Eric Williams.

Jadi di sini timbul satu isu, kepercayaan ke atas Mat Zan. Dan kepercayaan itu tidak ada.

Sebelum Eric Williams masuk, MUSA sudah melakukan beberapa transaksi yang dianggap bintang. Amri Yahyah, Aguero, dan Antwi.

Gambar: Kamarul Akhir/Asiana

Pengambilan pemain oleh pihak pengurusan tanpa ada analisis yang baik tentang falsafah bakal jurulatih mereka.

Ia memang cabaran untuk jurulatih yang baru datang ke Malaysia. Memang mereka akan terhad dari segi pengetahuan tentang pemain-pemain di negara kita.

Ramai jurulatih yang berjuang dengan pemain yang ditetapkan pengurusan.

Di sinilah pentingnya pengurusan berbincang dahulu dengan jurulatih ini dan tahu jenis pemain yang diperlukan jurulatih.

Masuk Eric Williams, beliau gagal memberikan keputusan yang diharapkan oleh pengurusan.

Kuasa pemain?

Yusoff Mahadi memberikan gambaran bahawa pemain tidak gemar dengan cara Eric Williams menguruskan pasukan di mana terlalu banyak pertukaran taktikal.

Jadi, ini memberikan bayangan kuasa pemain telah menjadi sebab penyingkiran Eric Williams.

Yusoff Mahadi turut mengakui beliau terpaksa mengambil tindakan memecat jurulatih demi keharmornian pasukan. Pada masa yang sama masih percaya Eric Williams jurulatih yang baik.

Ia memberikan gambaran, bahawa pihak pengurusan sebelum ini membuat perkara yang tepat cuma silapnya di tempat lain bukannya di bahu MUSA.

Itu adalah konflik pemahaman di antara pemain dan ketua jurulatih. Tugasan pemain untuk tahu apa kehendak jurulatih. Dan tugasan jurulatih membuatkan pemain mereka faham cara permainan yang beliau mahukan.

Akhirnya, Eric Williams dan pasukan Melaka gagal mencipta identiti bola sepak mereka. 7 perlawanan terakhir mereka tanpa sebarang kemenangan.

Identiti bola sepak ini penting. Ini yang gagal diterapkan oleh Van Gaal ketika di United. Pemain tidak berusaha untuk memahami dan membantu jurulatih mengangkat identiti bola sepak.

Jurulatih pula akan terpaksa mencari formula lain dalam pada masa yang sama masih mahukan DNA bola sepak itu diselesaikan.

Ego pemain-pemain Manchester United, mereka tidak pernah berbangga dengan sistem bek bertiga. Wayne Rooney dengan terang menyebut beliau keliru di bawah Van Gaal.

Pemain-pemain lain menganggap sistem bek bertiga ini tidak relevan kerana United ada falsafah bola sepak tersendiri.

Di Chelsea, pemain Chelsea besama-sama Conte berusaha mengangkat satu identiti bola sepak mereka. Walaupun dituduh pasukan defensif dan serangan balas, mereka tetap bangga dengan identiti bola sepak mereka.

Semua pemain selesa dengan arahan jurulatih. Pemain seperti Eden Hazard, beliau rela apabila Antonio Conte mengawal diet beliau dan juga mengarahkan dia berlatih dengan pertahanan untuk 2 minggu.

Kemudian, masuk Mourinho, apabila jurulatih yang ada prestasi dan ego yang tinggi yang menundukkan mana-mana pemain.

Ego yang membuatkan United lari dari bayang-bayang Fergie. Sesuatu yang gagal dilakukan Moyes dan Van Gaal.

Pemain United semua hormat akan kehendak Mourinho. Walaupun bermain sistem bek berenam sekalipun. Itulah bezanya era Mourinho dan Van Gaal.

Dalam kes pasukan Melaka, wujud sentimen kuasa pemain berdasarkan kenyataan Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Akhirnya mereka terpaksa melepaskan Eric Williams. Persoalannya, kenapa pengurusan tidak mampu mempertahankan pilihan mereka?

Menjadikan alasan, pemain tidak selesa dengan taktikal sebagai alasan, adalah perkara yang agak naif untuk diceritakan kepada media.

Leicester City dan Chelsea pernah dilaporkan gagasan kuasa pemain menyingkirkan jurulatih. Tetapi, pengurusan mereka tidak sewenang-wenang menyebut pemain mereka tidak selesa dengan jurulatih walaupun hal itu benar berlaku.

Ini akan mencalarkan kredibiliti mereka sebagai pentadbir pasukan. Maka timbullah alasan lain seperti, jurulatih gagal memberikan ratio kemenangan yang dikehendaki dan sebagainya.

Buat masa ini, Melaka dalam situasi untuk keluar dari zon penyingkiran. Menjadi pasukan yang paling banyak bolos pada musim ini.

Apa yang dapat kita pelajari adalah, dalam melakukan transisi, perlunya pelan yang betul. Liga Super adalah liga yang berbeza dengan Liga Premier.

Mat Zan tetap bukan jaminan Melaka akan menjadi pasukan pencabar kejuaraan kerana di Liga FAM pun dia bergelut.

Tetapi, beliau ada hubungan yang lebih baik dengan pemain dan rata-rata pemain memahami kehendak taktikal beliau.

Sebagai rekod, Eric Williams hanya mencatatkan ratio kemenangan 0.2 di Melaka musim ini dalam semua pertandingan.

Rumusan

Dalam kes Melaka, kegagalan pasukan musim ini bukan sahaja kerana Eric Williams. Ia tanggungjawab semua pihak.

MUSA harus memikirkan cara untuk memperbaiki isu ini. Pertukaran pemain import dan Pemecatan jurulatih mungkin hanya sebahagian daripada penyelesaian masalah.

Ini kerana, pemilihan jurulatih baru akan lebih mustahak selepas ini. Belajar dari kesilapan sebelum ini. Lantik jurulatih yang boleh membangunkan pemain di dalam pasukan yang ada.

Bukannya melantik jurulatih semata-mata untuk menang.

Eric Williams dan Ahsley Westwood antara 2 jurulatih yang gagal memberikan impak segera dalam proses berkenalan dengan pemain mereka sendiri dan liga Malaysia.

Jadi bolehlah dirumuskan kegagalan mereka musim ini adalah kerana perancangan yang emosi pada awal musim dan kurang realistik di dalam transisi ke Liga Super dan juga transisi dalam piramid kejurulatihan.

Sebelum ini, pasukan seperti Kedah melakukan tranisis ke Liga Super dengan baik. Mereka kekalkan pemain-pemain utama dan majoriti pasukan (pemain termasuk staf kejurulatihan).

Ini kerana mereka percaya dengan pasukan yang mereka ada sebelum ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN