Melaka United: Contoh Budaya Biar Papa Asal Bergaya Dalam Liga Malaysia

Melaka United

Pepatah Melayu ada menyebut, ukur baju di badan sendiri. Jika mengambil konteks dalam industri bola sepak, ia bermaksud setiap pasukan haruslah berbelanja mengikut kemampuan kewangan mereka.

Bagaimanapun satu perkara yang sudah menjadi kebiasaan buat pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M) adalah pepatah yang berlawanan iaitu biar papa asal bergaya.

Contoh paling mudah adalah dengan melihat bagaimana beberapa pasukan begitu ‘ghairah’ mendapatkan pemain-pemain import yang sudah tentu memerlukan perbelanjaan besar untuk menampung pembayaran gaji mereka.

Sekalipun kita tahu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah menetapkan kuota lima pemain import untuk Liga Super dan empat pemain import bagi Liga Premier, ianya bukanlah bermaksud setiap pasukan ‘wajib’ memenuhi kuota tersebut.

Apa yang menjadi persoalan adalah, mengapa pasukan-pasukan yang sedang menghadapi isu kewangan terutamanya melibatkan masalah gaji tertunggak sehingga jutaan ringgit masih bersikap ‘tidak sedar diri’ dengan memburu pemain-pemain import baharu?

Sedangkan masih ramai pemain tempatan yang masih boleh diambil untuk beraksi terutamanya pemain-pemain yang lahir daripada sistem pembangunan akar umbi pasukan itu sendiri yang boleh diikat dengan gaji yang lebih berpatutan.

Contoh terdekat adalah Melaka United yang sudah pun diketahui sedang berdepan dengan larangan mendaftar pemain bagi jendela perpindahan kedua oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Hukuman tersebut adalah berkaitan kegagalan membayar tunggakan gaji bekas pemain import dari Thailand, Narupan Wild berjumlah RM241,726.69 dalam tempoh yang ditetapkan.

Mereka kemudiannya tanpa rasa malu mengumumkan ketibaan dua pemain import baharu iaitu penyerang kelahiran Brazil, Alex dos Santos Goncalves serta pemain kebangsaaan Filipina, Manuel Gelito Ott yang mengisi kuota pemain import ASEAN.

Salah satu kaedah untuk mengurangkan perbelanjaan pasukan adalah dengan meminimumkan kos operasi terutamanya melibatkan pembayaran gaji pemain skuad utama dan semua orang tahu gaji pemain import ini pastinya jauh lebih tinggi berbanding pemain tempatan.

Jadi apakah jaminan untuk mereka mampu menampung kos operasi yang tinggi mereka sehingga penghujung musim? Sedangkan hutang tertunggak sedia ada pun terpaksa dibayar secara berjadual semata-mata mahu memenuhi syarat peleseanan.

Dalam sejarah Liga-M, Melaka United bukanlah satu-satunya pasukan yang mengamalkan pendekatan ‘tidak semenggah’ ini, sebelum ini beberapa pasukan lain yang berdepan dengan masalah sama turut mengambil tindakan serupa.

Beriya-iya mengambil pemain import yang belum terbukti pun kemampuannya di Liga Malaysia. Apabila gagal menyerlah dan tidak beraksi seperti yang diharapkan, kononnya ditamatkan kontrak lebih awal dan kemudiannya dapatkan pula pemain import baharu.

Sedangkan kontrak pemain import yang disingkirkan itu jelas tercatat gajinya perlu dijelaskan sehingga penghujung musim dan kes dibawa ke FIFA, akhirnya didenda dan terus dibebani dengan hutang yang lebih tinggi.

Sampai bilakah budaya ‘haprak’ ini mahu diteruskan?

Pasukan-pasukan ternama Eropah ketika ini yang menerima impak yang tinggi terhadap kewangan mereka disebabkan krisis pandemik turut mengambil pelbagai langkah untuk menjimatkan perbelanjaan.

Contohnya dengan berunding dengan pemain untuk memotong gaji, meminjamkan pemain yang tidak diperlukan, mendapatkan pemain ejen bebas yang secara percuma, menaikkan pemain akademi ke skuad utama dan sebagainya.

Jadi apa alasan untuk pasukan Malaysia tidak mencontohi kaedah-kaedah ini?

Kredit Foto: Bernama

Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).

Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan:

Nick Swirad Jadikan Thailand Sebagai ‘Getaway’ Lepas ‘Ditolak’ KL United?

‘Masa Persediaan Tak Cukup’ – Jurulatih Selangor Karsten Neitzel Harap Liga-M Ditangguh Sedikit Lagi

Melaka United Kata Sudah Selesai, Curran Ferns Dedah Sebaliknya

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN