Melaka United yang kembali membuat penampilan dalam saingan Liga Super 2017 pada awalnya meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok 5 pasukan teratas musim ini.
Namun segalanya tampak tidak berada di landasan yang tepat apabila Melaka United hanya mencatatkan 2 kemenangan, 5 seri dan 5 kekalahan pada 12 perlawanan terawal Liga Super untuk berada di zon penyingkiran.
Eric Williams digantikan dengan Eduardo Almeida
Keadaan itu memaksa pengurusan tertinggi Melaka United untuk melakukan tindakan drastik bagi menamatkan khidmat ketua jurulatih, Eric Williams dikatakan gagal membentuk keserasian di antara beliau dengan para pemain yang menjurus kepada prestasi buruk ditampilkan Melaka United ketika itu.
Pengendali dari Portugal, Eduardo Almeida telah dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) sebagai pengganti pada bulan Jun lalu dengan harapan untuk kembali membawa Melaka United ke arah yang lebih baik dan seterusnya kekal di Liga Super 2018.
Ternyata langkah yang dilakukan oleh MUSA itu membuahkan hasil apabila Almeida berjaya mewujudkan suasana yang berbeza seperti sebelum itu. Keadaan di kem Melaka lebih harmoni dengan kehadiran Almeida.
Empat kemenangan berturut-turut selamatkan Melaka United
Walaupun masih berdepan kesulitan apabila gagal mencipta kemenangan dalam 4 perlawanan terawalnya dalam Liga Super, Almeida telah berjaya menerapkan perkara yang positif ketika membimbing Melaka apabila beliau memilih para pemain untuk diturunkan dalam satu-satu perlawanan berdasarkan prestasi anak buahnya ketika sesi latihan. Keadaan yang tidak dilakukan oleh jurulatih sebelum itu.
Kesabaran pihak pengurusan, Almeida dan para pemain akhirnya terbalas apabila Melaka United berjaya mencatatkan 4 kemenangan berturut-turut pada 5 perlawanan terakhir iaitu keatas Sarawak, T-Team, Perak dan Selangor untuk mengekalkan mereka dalam Liga Super musim hadapan.
Dengan rentetan kemenangan itu meletakkan Melaka berada ditangga ke-8 dengan mencatatkan 24 mata.
R.Surendran gembira dapat kekal di Liga Super 2018
Mengulas mengenai situasi sukar Melaka United dalam usaha untuk mengekalkan diri dalam Liga Super, ketua pasukan, R.Surendran yang dihubungi Semuanya BOLA mengakui pada mulanya para pemain cukup tertekan dengan keadaan itu.
”Sejujurnya kami tertekan kerana kekalahan pasukan Melaka yang selalunya berpunca daripada kesilapan individu dan juga kekurangan fokus pada minit-minit akhir perlawanan membuatkan kami bolos. Masalah begitu buatkan pemain tertekan.”
”Tetapi dengan galakan semangat dari ‘Coach’ Eduardo Almeida yang sentiasa meningkatkan moral kami serta pihak pengurusan juga telah membuatkan para pemain berazam untuk mengelakkan dari kembali terjerumus ke Liga Perdana tahun hadapan.”
Surendran juga bersyukur dengan kejayaan untuk terus kekal dalam Liga Super.
”Sememangnya saya gembira kerana Melaka United dapat kekal di Liga Super. Saya berharap musim hadapan kami tidak akan mengulangi perkara ini dan sasaran saya adalah untuk kekal di kelompok 5 pasukan terbaik.”
Kredit foto: Melaka United Soccer Association (MUSA)