Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) jelas tidak lagi memberi muka kepada pasukan yang mengalami masalah tunggakan gaji pemain apabila PDRM FA didenda dengan potongan tiga mata.
Sebelum ini FAM memberi peluang sehingga 31 Januari 2020 untuk ketiga-tiga pasukan menyelesaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai masing-masing.
“Untuk itu, FAM pada hari ini ingin mengumumkan bahawa Melaka dan Kelantan telah pun berjaya melangsaikan tunggakan gaji atau mencapai persetujuan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai yang terbabit, sekali gus terlepas hukuman pemotongan mata berkenaan,” ujar Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam satu kenyataan media yang diedarkan pada hari ini.
“Bagaimanapun, PDRM gagal untuk melakukan perkara yang sama, sekali gus FAM dengan ini terpaksa mengumumkan penolakan tiga mata terhadap PDRM apabila bermulanya saingan Liga Super 2020 pada 28 Februari 2020.
“FAM akan berkomunikasi dengan Malaysian Football League (MFL) untuk badan penganjur Liga Super itu melaksanakan arahan pemotongan tiga mata tersebut.”
Kegagalan PDRM FA untuk menjelaskan bayaran tunggakan tersebut bagaimanapun tidak bermakna FAM akan berdiam diri selepas mengenakan potongan tiga mata.
Malah The Cops boleh dikenakan hukuman yang lebih berat jika terus gagal berbuat demikian dalam tempoh masa sebulan akan datang.
“Selain itu, seperti mana yang telah pun dinyatakan dalam surat yang sama bertarikh 15 Januari 2020 itu, PDRM akan diberi tempoh tambahan selama empat minggu untuk menyelesaikannya sehingga 28 Februari 2020,” tambah Stuart lagi.
“Jika masih gagal, PDRM akan dikenakan hukuman seterusnya iaitu pemotongan enam lagi mata.
“Justeru FAM berharap PDRM akan mengambil serius untuk berusaha menyelesaikan perkara ini mengikut tempoh masa yang telah ditetapkan itu.”
Keputusan FAM ini bermakna PDRM FA sudah sah akan memulakan aksi Liga Malaysia dengan mata permulaan -3.