Jaringan penyamaan daripada pihak lawan pada minit akhir perlawanan ternyata mengecewakan pengendali skuad The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic apabila anak buahnya menghadiahkan sepakan penalti lalu terikat 1-1 dengan Terengganu dalam aksi Liga Super semalam.
Ketika Perak di ambang kemenangan pertamanya pada musim ini, pemain tengah mereka, Kenny Palraj bertindak mengasari pemain lawan di kotak penalti sehingga memusnahkan impian mereka untuk membawa pulang tiga mata penuh.
Bercakap dalam Berita Harian, jurulatih dari Australia itu kurang senang dengan tindakan pemainnya yang melakukan kekasaran ke atas pemain lawan dalam kotak penalti kerana boleh merugikan pasukan sendiri.
“Saya rasa semua orang tengok perlawanan malam ini (malam tadi), kita sepatutnya boleh mencatat kemenangan pertama kerana kita dapat banyak peluang dan sepatutnya dapat mengutip tiga mata untuk di bawa pulang.
“Namun sepakan penalti pada saat akhir yang yang diperoleh Terengganu mengecewakan kami, dengan hanya tinggal beberapa minit saja lagi apa yang boleh dilakukan pemain kami?
“Inilah bola sepak, kami perlu melupakannya dan harus melihat ke hadapan bertemu PJ City FC selepas ini di tempat sendiri untuk mencatat kemenangan pertama,” katanya.
Walaupun hanya bawa pulang satu mata, Durakovic tetap memuji semangat juang anak buahnya yang berusaha keras memastikan pasukannya tidak pulang ke Ipoh dengan tangan kosong.
“OK lah kami pulang dengan satu mata, pasukan saya sangat menakjubkan malam ini, kami banyak mengawal permainan, bermain dengan baik, banyak mencipta peluang, namun Terengganu juga bermain dengan sangat baik, membawa balik satu mata adalah cukup bagus.
“Saya juga harus berterima kasih kepada pemain terutama penjaga gol yang menyelamat beberapa percubaan bahaya daripada pasukan lawan.
“Walaupun ada pemain yang melakukan kesilapan, itu adalah perkara biasa dalam bola sepak, namun apa yang dapat saya katakan bahawa kami sepatutnya menang, tapi kami tidak akan putus asa untuk melakar kemenangan selepas ini,” jelasnya.