Meskipun tidak berjaya melangkah ke suku akhir Piala FA musim ini, pasukan dari Liga divisyen 4 (Liga M4), Jerantut FA nyaris mengejutkan pasukan Liga Super, Perak dan memaksa skuad kendalian Mehmet Durakovic itu bekerja keras sebelum tewas 1-2 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka malam tadi.
Biarpun dibarisi oleh pemain ‘kampung’ dan kurang pengalaman tapi mereka membuktikan tiada apa yang mustahil dalam bola sepak sekiranya semua pemain memberikan komitmen sepenuhnya serta beraksi dengan bersungguh-sungguh.
Malah, Durakovic turut mengakui lawan mereka berjaya memberikan tentangan sengit dan memuji kecemerlangan penjaga gol Jerantut FA iaitu Muhamad Rozlan Arbae yang menepis beberapa percubaan berbahaya Perak.
“Mereka bermain baik, memberikan tentangan sengit sepanjang perlawanan. Mereka terlebih dulu menjaringkan gol menerusi sepakan percuma yang hebat. Secara keseluruhan kita mengawal permainan dan berjaya jaringkan dua gol. Sejujurnya kita boleh jaringkan lebih banyak gol tapi inilah bola sepak,” katanya dalam Berita Harian.
Dalam perlawanan itu, Jerantut terlebih dulu menjaringkan gol pembukaan menerusi sepakan percuma cantik Muhamad Firdaus Abdul Razak pada babak pertama sebelum penyerang import Perak Wander Luiz meledak dua gol pada babak kedua.
Jaringan sepakan percuma itu telah mengejutkan semua pihak sehingga mendapat perhatian di media sosial. Mehmet Durakovic turut menyifatkan pasukan ini boleh pergi jauh jika mendapat latihan secara professional dan meningkatkan tahap kecergasan pemain.
45'| GOL FIRDAUS ABD RAZAK!
Sepakan percuma Firdaus Abd Razak menewaskan Hafizul Hakim untuk meletakkan The Kampung Boys satu gol dihadapan!
Jerantut FA 1-0 Perak#ShopeePialaFA#MFLLive#JERPRK pic.twitter.com/6FDey7M7Al
— MFL LIVE (@MFL_Live) April 17, 2019
“Mereka semua masih muda dan bersemangat tapi untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi seperti Liga Super bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Sementara itu, pengendali Jerantut FA Ahmad Nazri Md Noor turut memuji prestasi pemainnya berdepan pemain yang lebih berpengalaman.
“Saya puji persembahan pemain saya, kita tewas tipis tetapi kita beri saingan sengit. Selepas 75 minit beraksi baru kita dibolosi,” kata Nazri.
“Pencapaian ke pusingan ketiga sudah cukup baik dan saya yakin ini adalah permulaan, kita akan kembali pada tahun depan dengan lebih bagus.
“Saya ingin berterima kasih kepada lebih 5,000 penyokong yang hadir ke stadium malam ini dan beri sokongan kepada kami. Sokongan mereka adalah sebab kami beraksi dengan baik,” katanya.