Aksi unifi Liga Super Malaysia 2018 di antara pasukan Perak menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Sabtu ini pasti sengit dan menarik.
Perak buru kemenangan kedua untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam kelompok 5 teratas Liga manakala pasukan Kelantan terdesak untuk meraih 3 mata pertama untuk mengelakkan daripada terperosok di dasar Liga.
Namun bagi pengendali Perak, Mehmet Durakovic, beliau berharap dapat membawa 4 tonggak pasukan itu iaitu kapten pasukan, Nasir Basharuddin, Brendan Gan, Mohd Nazrin Nawi dan Ahmad Khairil Anuar Zamri ke Kota Bahru.
Menurut Durakovic, Nasir dan Khairil Anuar belum beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan manakala Brendan diturunkan ketika menentang Pahang dan Kedah sementara Nazrin pula dibawa masuk ketika bertemu Kedah.
Bercakap kepada Harian Metro, Durakovic berharap semua anak buahnya itu sudah pulih selepas Liga berehat hampir 2 minggu sempena cuti tahun baharu Cina.
“Saya tidak tahu keadaan mereka setakat ini tetapi saya harap mereka dapat diturunkan terutama sekali Nasir dan Beto (Ahmad Khairil Anuar Zamri).
“Saya perlu menurunkan kesebelasan terbaik bagi memburu kemenangan dan saya harap mereka boleh beraksi,” katanya.
Durakovic bagaimanapun tidak mahu anak buahnya memandang rendah pada pasukan lawan kerana mereka mampu menghukum pasukannya untuk mengagalkan impian mengutip 3 mata penuh.
“Jangan pandang rendah kemampuan Kelantan kerana mereka sebenarnya bukan calang-calang pasukan. Ketika ini mereka mungkin belum menunjukkan kemampuan sebenar,” katanya.