Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic memuji prestasi dua pemain import baharu pasukan itu, Ronaldo Henrique Silva dan Raianderson Careca selepas membantu Perak layak ke peringkat separuh akhir Piala FA kelmarin.
Malah, Ronaldo turut membalas kepercayaan Durakovic apabila meledak dua gol menewaskan PKNP FC walaupun baru turun berlatih tidak sampai tiga hari.
“Mereka amat profesional, perjalanan selama dua hari untuk sampai ke sini bukannya mudah.
“Mereka menjalani program pemulihan, mendapat rehat dan sempat berlatih dengan kami selama beberapa hari dan mereka sendiri yang ingin beraksi,” katanya dalam Stadium Astro
Penyerang dari Brazil itu menggantikan Gilmar Jose Da Silva yang ditamatkan kontrak ekoran prestasi yang kurang memuaskan manakala Careca menggantikan tempat Wander Luiz yang menarik diri kerana masalah kesihatan anaknya.
Ronaldo turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Menteri Besar Perak kerana membawanya menyertai pasukan itu.
“Saya berbangga dan gembira dapat menyumbangkan gol yang membawa Perak ke peringkat berikutnya.
“Terima kasih kepada Menteri Besar (MB) kerana memberi peluang kepada saya dan (Raianderson) Careca menyarung jersi Perak.
“Kami akan berusaha untuk memberikan persembahan terbaik untuk membawa pasukan ini ke final dan menjulang trofi,” tambahnya.