Walaupun ada gesaan daripada penyokong skuad The Bos Gaurus yang mahu Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) menambah satu lagi pemain import untuk slot pemain dari asia tenggara (Asean), pengendali Perak, Mehmet Durakovic tetap dengan keputusannya menggunakan empat pemain import dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
Ketika ini, juara Piala Malaysia 2018 itu mengekalkan tiga pemain import musim lepas iaitu Gilmar Jose Da Silva Filho, Leandro Dos Santos dan Wunder Luiz dari Brazil selain turut mengikat pertahanan kelahiran Australia, Zac Anderson bagi mengisi kuota pemain import Asia.
Kualiti pemain Asean lebih kurang dengan pemain Malaysia
Walaupun ada kekosongan pemain import kouta Asean namun Mehmet berkata beliau lebih gemar mengambil pemain tempatan terutamanya pemain muda yang berkualiti bagi mengisi kekosongan itu.
“Apa gunanya mengambil pemain import asean jika keupayaan mereka lebih kurang dengan pemain tempatan.
“Lebih baik saya berikan peluang itu kepada pemain muda. Perak mendaftarkan lima pemain import musim lalu, namun hanya tiga yang berkesan.
“Saya mengambil peluang untuk menurunkan pemain muda, Firdaus Saiyadi, dan dia berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan.
“Saya tidak nampak pemain import kouta Asean yang berwibawa untuk didaftarkan setakat ini,” katanya dalam Stadium Astro.
Musim ini Perak berjaya mendapatkan khidmat pemain tempatan berkualiti seperti bekas pemain Nakhon Ratchasima FC, Shahrel Fikri Md Fauzi, dan bekas pemain Terengganu FC, J. Partiban bagi memperkasakan jentera serangan pasukan itu musim ini.