Menjelang jendela perpindahan pemain yang akan dibuka 14 Mei ini, pengendali Perak The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic menegaskan beliau tidak akan melakukan sebarang rombakan terhadap pasukannya itu.
Walaupun terdapat segelintir pemain yang gagal menunjukkan prestasi terbaik dalam beberapa perlawanan, beliau tetap berpuas hati dengan sumbangan semua awang import pasukannya.
“Saya tidak peduli apa orang lain kata, bagi saya semua pemain import telah memberikan yang terbaik.
“Mungkin ada kurang di sana sini tetapi pada dasarnya masing-masing punyai peranan tersendiri,” katanya.
Menurut Berita Harian, Mehmet juga enggan mengulas sama ada Perak akan menggantikan pemain import ketika jendela perpindahan kedua dibuka Mei ini.
“Sebenarnya, tiada keperluan merombak pemain sedia ada walaupun ada ketika beberapa pemainnya gagal pamer persembahan terbaik.
“Kita akui memang kadang-kadang ada pemain yang beraksi di bawah tahap sebenar. Namun, secara keseluruhannya saya masih berpuas hati dengan persembahan semua pemain,” katanya.
Perak memiliki lima pemain import iaitu trio Brazil, Leandro Dos Santos, Wander Luiz dan Gilmar Jose Da Silva, Robert Cornwaithe dan Misagh Bahadoran.
Persembahan Misagh dipertikaikan oleh penyokong yang kurang berpuas hati dengan kemampuan kapten pasukan kebangsaan Filipina itu.
“Dia akan kekal sebahagian skuad kami sampai akhir musim.
“Bagi saya dia ada keistimewaan tersendiri dan tidak ada sebab mengapa saya perlu gantikannya,” katanya.
Jurulatih itu bersedia memberi masa lagi buat Bahadoran membuktikan kemampuannya bagi memenangi keyakinan orang ramai semula.
“Berikannya sedikit masa lagi. Saya yakin dia akan membalas kepercayaan terhadapnya,” katanya.