Skuad The Bos Gaurus tekad buru kemenangan yang pertama dalam saingan Liga Super musim ini apabila dijadualkan menentang Petaling Jaya City (PJ City) di Stadium Perak, sabtu ini.
Justeru itu, pengendali skuad itu, Mehmet Durakovic mahu mempertajamkan jentera serangan dalam usaha memburu jaringan setelah dilihat agak tumpul dalam 4 perlawanan Liga Super setakat ini.
Sesi latihan sejak kembali dari Terengganu, Ahad lalu, digunakan untuk meningkatkan penyudah pasukan.
“Kami terlepas tiga mata dalam perlawanan dengan Terengganu kerana gagal menyudahkan beberapa peluang ketika mendahului 1-0.
“Jika berjaya, sudah pasti kami menang perlawanan itu sekurang-kurangnya 2-1.
“Oleh itu, pemain menggandakan usaha untuk mempertajamkan diri,” katanya dalam Stadium Astro.
Mengulas mengenai prestasi pemainnya, beliau berpuas hati dengan semangat juang anak buahnya namun masih belum bernasib baik untuk mendapatkan 3 mata penuh.
“Nasib nyata belum menyebelahi Perak setakat ini. Kami mencipta dua atau tiga peluang tetapi gagal diterjemahkan. Begitu juga ketika bertemu Kedah dan Felda United sebelum ini yang turut berkesudahan seri 1-1.
“Ketika menentang Terengganu pula, penalti di minit-minit akhir menjadi faktor kami terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas mendahului lawan.
“Bagi saya, ia tetap pencapaian baik, tambahan pula Perak beraksi cemerlang dalam perlawanan itu,” ujarnya.
Selepas mengharungi 4 perlawanan Liga Super, Perak setakat ini hanya menjaringkan 3 gol dan penyerang import Perak, Gilmar Jose Da Silva Filho kini berdepan kritikan daripada pelbagai pihak, terutama dalam kalangan penyokong setia.
Namun, kita sendiri dapat melihat Wander Luiz juga mengalami krisis prestasi dan bermain di bawah par sejak musim 2019 bermula. Hal ini menggusarkan Gilmar sendiri memandangkan beliau bukanlah penyerang yang mampu bergerak sendiri.
Maka tidak salah untuk kita mengatakan prestasi rakan sepasukan seperti Wander turut mempengaruhi tahap aksi oleh Gilmar sehingga memberi kesan kepada keputusan perlawanan.