Dua kali pengendali Perak, Mehmed Durakovic dilihat mengulangi ungkapan ‘kami tiada skuad yang besar’ dalam sidang media sejurus aksi suku akhir pertama Shopee Piala FA, yang menyaksikan pasukan kendaliannya terikat tanpa jaringan menentang PKNP FC pada Selasa lalu.
Tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan tersebut merujuk kepada bilangan pemain yang didaftarkannya atau pemain yang cergas untuk bermain yang berada dalam senarainya. Semua sedia maklum, Mehmed ‘liat’ untuk mengubah kesebelasan utamanya.
“Perancangan saya adalah untuk lihat keadaan semua pemain saya. Kita akan balik ke Ipoh untuk sesi pemulihan pada malam ini (Selasa) dan esok serta melihat siapa yang boleh bermain.
“Kerana esok (Rabu), kita akan bertolak ke Shah Alam, jadi ia bukan sesuatu yang mudah kerana kita tiada skuad yang besar,” ujarnya mengenai perancangan pasukannya untuk aksi kedua suku akhir Piala FA menentang PKNP FC pada 11 Mei depan.
Perak terlebih dahulu akan berkunjung ke Stadium Shah Alam untuk menentang PKNS FC pada Jumaat ini dan kecergasan pemain pastinya adalah isu yang bermain di fikirannya ketika ini.
Ketika diikat PKNP FC di Manjung tempohari, dua pemain terpaksa dikeluarkan seawal babak kedua bermula akibat kecederaan iaitu penyerang, Shahrel Fikri dan pertahanan, Idris Ahmad.
Pendekatan lawan yang dilihat bermain secara fizikal dan ‘man to man marking’ menjurus kepada kecederaan pemain. Dapat dilihat bagaimana Amani Aquinaldo merantai kemas pergerakan Gilmar sehingga berlaku sedikit pergeseran di kalangan pemain.
Turut ditanya adalah bagaimana persediaannya dan para pemain menjelang aksi liga yang akan berlangsung sepanjang Ramadhan.
“Ianya sama bagi semua orang (main di bulan Ramadhan). Inilah bola sepak, kita perlu bermain di bulan Ramadhan. Tetapi, kami tiada skuad yang besar, pemain perlu rehat dan jalani pemulihan serta perlu bermain. Tiada masalah, ianya okay,” ujar Mehmed.
Selain Shahrel Fikri dan Idris Ahmad, Perak sebenarnya sudah tiada masalah kekurangan pemain kerana Nasir Basharudin juga telah kembali beraksi dalam beberapa perlawanan disamping Nazirul Naim dan Amirul Azhan yang kembali dari penggantungan.