Naib Juara Liga Super 2017, Pahang diikat Perak tanpa jaringan dalam perlawanan pembukaan kedua-dua pasukan dalam saingan Unifi Liga Super 2018 di Stadium Darul Makmur malam tadi.
Dollah Salleh melakukan kejutan apabila tidak menurunkan penyerang importnya dari Argentina Sergio Unrein dalam kesebelasan utama sebaliknya memilih Norshahrul Idlan Talha bergandingan dengan R Kogileswaren.
Bahagian sayap diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain import iaitu Chan Vathanaka dan Mohamadou Sumareh manakala Nor Azam dan Safuwan mengemudi bahagian tengah.
Permainan yang seimbang di antara kedua-dua pasukan diperlihatkan pada separuh masa pertama dan penyerang kedua-dua pasukan sering menguji penjaga gol lawan masing-masing namun tiada jaringan dihasilkan.
Pahang memperolehi peluang keemasan pada minit ke 47′ setelah Matthew berjaya melakukan hantaran lintang ke hadapan pintu gol Perak namun Norshahrul gagal menanduk kemas ke dalam pintu gol walaupun ketika itu tiada pemain Perak yang lain mengawalnya.
Dollah kemudian melakukan beberapa pertukaran termasuk memasukkan Unrein pada minit ke 69 tetapi tiada jaringan yang berjaya dilakukan oleh pasukan tuan rumah.
Sebaliknya, Perak berjaya melakukan beberapa percubaan yang boleh menghasilkan gol kemenangan antaranya melalui Gilmar yang mendapat situasi satu lawan satu dengan penjaga gol tetapi mujur Muslim berjaya memintas.
Kedua-dua pasukan terus buntu menghasilkan gol sehingga wisel penamat ditiupkan pengadil perlawanan dan perlawanan berakhir dengan tiada jaringan dihasilkan antara kedua-dua pasukan.
Mengulas mengenai perlawanan pertama saingan Liga Super, pengendali Perak, Mehmed Durakovic mengakui masih terlalu awal untuk menilai prestasi The Bos Gaurus kerana semua pasukan memiliki barisan pemain berpengalaman dan terbaik.
“Kami sepatutnya mampu menewaskan tuan rumah dengan beberapa peluang keemasan dimiliki pada separuh masa pertama tetapi pemain gagal melakukan penyudah tepat.
“Namun saya akui Pahang adalah pasukan yang bagus dan mereka berjaya mengawal keadaan untuk memastikan gawang tidak dibolosi,” katanya.
“Begitu juga Pahang, Kedah, Selangor dan Terengganu yang dilihat memiliki pemain yang bagus. Oleh itu, apa yang perlu dilakukan Perak adalah mempamerkan prestasi terbaik,” jelasnya.
Sementara itu, jurulatih Pahang, Dollah Salleh mengakui skuadnya bernasib baik daripada diaibkan Perak selepas seri tanpa jaringan pada perlawanan pertama Liga Super di Stadium Darul Makmur, malam tadi.
“Saya akui jentera serangan dan tengah kurang menyerlah hingga memberi kesan terhadap corak permainan Pahang kerana terlalu bergantung kepada Mohamadou Sumareh.
“Saya memang mengharapkan Nor Azam Azih dan Chan Vathanaka untuk membantu jentera serangan tetapi mereka gagal beraksi dengan baik dan terpaksa dikeluarkan pada babak kedua.
“Kami bernasib baik kerana Perak gagal menembusi gawang untuk memastikan skuad Tok Gajah meraih sekurang-kurangnya satu mata,” katanya.