Sebuah media di Thailand, Stadium TH telah mengeluarkan sebuah artikel mengenai Tan Cheng Hoe dan skuad kebangsaan yang dikatakan sangat tidak sabar-sabar untuk meneruskan aksi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Menurut penulisnya, artikel tersebut adalah andaian apa yang berada di dalam pemikiran pengendali Harimau Malaya dan mengapa skuad negara sangat inginkan pusingan kelayakan diteruskan ketika dunia dilanda pandemik COVID-19 ini.
Memetik kenyataan Tan Cheng Hoe menerusi laporan media sebelum-sebelum ini, pengendali berusia 51 tahun itu dikatakan kecewa apabila persediaan Malaysia untuk menjadi antara 12 pasukan terbaik Asia terganggu dek kerana wabak tersebut.
Dengan perlawanan peringkat antarabangsa yang telah ditunda selain liga domestik yang turut tidak berlangsung sehingga ke satu tarikh yang tidak pasti, Stadium TH merasakan yang itulah salah satu sebab kenapa beliau dilihat sangat kecewa.
Apakah kelebihan yang ada pada skuad Harimau Malaya ketika ini yang menjadikan mereka ‘dahagakan’ perlawanan antarabangsa? Ini merupakan andaian penulis Stadium TH menerusi artikel yang turut dikongsi media rasmi Gajah Perang.
Malaysia miliki kelebihan untuk menjadi antara yang terbaik dan bakal menjadi ancaman buat pasukan-pasukan yang bakal bertemu mereka selepas ini.
Malaysia akan turun menentang UAE, Vietnam dan Thailand untuk baki tiga perlawanan Kumpulan G. Ketika ini, skuad negara berada di kedudukan kedua kumpulan dengan sembilan mata, dua mata di belakang pendahulu, Vietnam.
Menurut mereka, selepas Park Hang-seo, Malaysia juga miliki skuad yang hampir sempurna selain UAE, Indonesia dan Thailand yang ketika ini memiliki pengendali baharu – yang mungkin akan memberi kesan kepada prestasi pasukan.
Ivan Jovanovic yang baharu dilantik untuk menggantikan Bert van Marwijk pada akhir Disember lalu dikatakan mungkin masih terlalu awal untuk berhasil mendapat skuad dan permainan yang mantap daripada pemain-pemain di Emirates nanti.
Stadium TH menjangkakan atas faktor itulah yang Malaysia berpeluang besar untuk menakluk dan mengejutkan lawannya itu di Dubai nanti – apabila aksi bersambung.
Mereka dilihat menggunakan sebab pemain naturalisasi yang menjadikan Harimau Malaya sangat gah ketika ini. Antara nama yang disebut adalah Brendan Gan, Corbin Ong dan Mohamadou Sumareh yang dikatakan dalam prestasi memuncak.
Selain itu, mereka juga menyatakan yang skuad negara semakin bersemangat apabila pemain-pemain seperti Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula dan Lee Tuck berkemungkinan bakal menyarung jersi skuad kebangsaan pula selepas ini.
“Adakah Covid-19 ini akan menjadikan prestasi Harimau Malaya semakin menurun dan ‘hilang selera’ pada hujung tahun nanti?” titip penulis tersebut di akhir artikelnya.
KREDIT FEATURED IMAGE: TWITTER CHANGSUEK