Media Indonesia Puji Langkah FAM Perkenalkan Kuota Pemain Import Asean

Baru-baru ini, badan pengendali liga Malaysia, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP)  mengumumkan penambahan kuota pemain import kepada lima de­ngan tiga pemain bebas dan satu pemain masing-masing dari Asia dan ASEAN bagi saingan Liga Super musim depan.

Menurut FMLLP, pasukan Liga Perdana pula dibenarkan memiliki empat pemain asing, satu daripadanya adalah kuota dari Asia yang mana pemain-pemain asing itu sama ada Liga Super atau Liga Perdana harus memiliki 30 kaps di pentas antarabangsa.

Bagaimanapun, terdapat segelintir peminat bola sepak tanah air tidak bersetuju dengan kemasukan ramai pemain asing kerana dikatakan bakal memberi kesan buruk kepada pasukan kebangsaan apabila ia akan mengurangkan pe­luang pemain tempatan beraksi dalam kesebelasan utama.

Ketika ramai peminat bola sepak tanah air tidak bersetuju dengan langkah FAM dan badan pengendali Liga, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) memperkenalkan slot pemain import kelima untuk pemain dari Asean, pengikut bola sepak dalam kalangan negara asia pula melihat dari perspektif yang berbeza.

Kebanyakan mereka menganggap langkah FAM itu mampu meningkatkan nilai komersial liga Malaysia dan menarik kehadiran ramai penyokong dalam kalangan asia tenggara ke stadium.
Mereka juga meramalkan Liga Super Malaysia mampu bersaing dengan Liga Thailand dan memiliki keupayaan untuk menguasai bola sepak di peringkat Asia pada masa yang akan datang.

Hal ini diakui sendiri oleh penulis laman bola sepak dari Indonesia, Bolasport.com yang juga pengkritik bola sepak Indonesia, saudara Alvino Hanafi yang memuji perancangan Presiden FAM, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, untuk menjadikan Liga Super Malaysia lebih kompetitif, komersial serta berkembang maju selaras pembangunan bola sepak moden.

Alvino menceritakan bagaimana Tunku Ismail tertarik dengan jumlah kehadiran penyokong Indonesia yang ramai ketika menonton aksi liga super yang membabitkan pasukan Selangor.

Kebanyakan warga Indonesia yang bekerja di Malaysia tidak akan melepaskan peluang untuk ke stadium jika ada perlawanan yang melibatkan Andik Vermansah.

“Saya beri contoh Andik yang bermain untuk pasukan Selangor FA. Kerana adanya Andik, ramai penyokong dari Indonesia mengikuti perkembangan pasukan Selangor FA,” kata Tunku Ismail.

“Jika ada pemain dari Thailand, Filipina, Singapura, Laos, Myanmar, dan negara lainnya di Asia Tenggara, mereka akan meningkatkan jumlah penonton dan juga kualiti Liga Super Malaysia itu sendiri,” jelasnya.

Presiden FAM, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mahu meningkatkan nilai komersial Liga Super Malaysia.

Menurut Alvino, penambahan kuota pemain import secara tidak langsung merancakkan industri bola sepak bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh ASEAN­ khususnya Indonesia yang sentiasa mengikuti perkemba­ngan rapat Liga Super Malaysia.

“Tidak dapat dinafikan liga terbaik di rantau ASEAN ini masih menjadi milik Thailand, tetapi kajian saya menunjukkan Malaysia juga memiliki pelan yang sama.

“Saya mengikuti perkembangan bola sepak Malaysia sebelum dan selepas Tunku Ismail mengambil alih FAM dan banyak kejayaan kelab-kelab Liga M sepanjang bermain di Piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) termasuk kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) memenangi trofi itu pada tahun 2015.

“Apa yang menarik, mereka menambah satu lagi kuota untuk pemain ASEAN dalam Liga M musim depan. Inilah yang bakal membuatkan nilai komersial Liga M menjadi lebih menarik dan tidak mustahil siaran langsung untuk Liga Super Malaysia akan ada di Indonesia, Myanmar, Singapura atau mana-mana negara ASEAN satu hari nanti,” jelas Alvino ketika dihubungi oleh wartawan Kosmo. 

Sejak Andik Vermansah beraksi dengan pasukan Selangor, kehadiran penyokong dari Indonesia meningkat

Alvino turut meramalkan permintaan peminat dari negara Asean untuk menyaksikan siaran langsung Liga Malaysia pasti akan meningkat kerana ramai peminat pasti mahu menyaksikan pemain kesayangan negara mereka beraksi dengan pasukan luar.

“Sebelum ini kami hanya menyaksikan perlawanan Liga M secara siaran langsung di internet sahaja.

“Permintaan untuk menyaksikan Liga M pasti akan naik kerana mereka mahu me­nyaksikan pemain kesayangan atau pemain negara mereka ber­aksi bersama kelab Liga M.

“Jadi, saya yakin FAM serius untuk mentadbir kejohanan domestik dengan mengangkat nilai komersialnya di negara-negara jiran. Ini adalah satu peluang perniagaan yang bijak.

“Sejujurnya, saya cemburu dengan Malaysia kerana memiliki Presiden seperti Tunku Ismail tetapi pada masa sama, kita satu rumpun negara ASEAN­ mahu menyaksikan industri bola sepak lebih profesional dan berdaya saing sama seperti liga-liga terkemuka lain,” katanya kepada Kosmo.

Sementara itu, salah seorang pemerhati bola sepak tanah air menyifatkan kehadiran pemain import kelima yang berlainan standard pasti akan meningkatkan kualiti pemain pasukan kebangsaan untuk bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN