Selepas tampil dengan rentetan episod positif di pentas antarabangsa, nama Indonesia secara tiba-tiba kembali mendapat perhatian ramai pemerhati bola sepak yang tampil kagum akan kekuatan mereka.
Apa tidaknya, Indonesia sebelum ini boleh dianggap sebagai pasukan yang kurang diberi perhatian apabila mereka tampil dengan kedudukan ranking agak rendah serta kurang konsisten bawah kendalian Shin Tae-yong.
Namun, siri kebangkitan berjaya dicipta Sang Garuda apabila mereka merekodkan keputusan positif dalam saingan Piala Asia 2023 lalu di Qatar.
Pada saingan tersebut, Sang Garuda berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 terbaik buat pertama kali dalam sejarah selepas mereka memberi tentangan cukup baik sewaktu menentang Jepun, Iraq serta menewaskan Vietnam.
Malah, sensasi Indonesia di pentas antarabangsa terus konsisten dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menerusi dua kemenangan ketika berdepan Vietnam dan berpeluang melayakkan diri ke pusingan seterusnya.
Kejayaan itu kini turut menjadikan Indonesia menerima perhatian serta reaksi positif daripada media China yang menganggap mereka sebagai Raja kecil di Asia Tenggara.
Menerusi projek pemain warisan mereka yang dilakukan secara besar-besaran, jelas ianya memberi impak cukup positif buat bola sepak Indonesia kini khususnya di Asia Tenggara.
Daripada segi ranking, Indonesia berjaya melonjakkan diri mereka di tangga 134 dunia kini menerusi kejayaan dua kali berturut-turut menewaskan Vietnam sebelum itu.
Menurut media China iaitu 163 dan dikongsikan oleh CNN Indonesia, mereka menganggap perkembangan Sang Garuda sangat pantas seperti roket dan menjadi raja kecil terbaharu di Asia Tenggara.
“Dalam beberapa tahun terakhir, Indonesia dilihat mampu untuk mengetepikan Myanmar atau Laos dan sukar untuk mengimbangi Thailand dan Vietnam.
“Namun kekuatan Indonesia kini begitu melonjak dan hanya beberapa tahun diperlukan mereka untuk menjadi raja Asia Tenggara baharu seperti roket,” puji kenyataan tersebut.
Tampil dengan ramai pemain warisan berkualiti di segenap posisi kini menjadikan mereka tampil serba seimbang di segenap posisi jika dibandingkan prestasi Sang Garuda beberapa tahun lalu.
Walaupun begitu, bakat-bakat tempatan seperti Asnawi Mangkualam, Witan Sulaeman dan beberapa lagi juga tidak boleh dipandang remeh menerusi sumbangan mereka di atas padang.