Quantcast

BERITA

Medel Setuju Dengan Messi, Pengadil Tidak Cukup Bagus

Dalam aksi perebutan tempat ke-3 Copa America 2019 di antara Argentina dengan Chile, kapten kedua-dua pasukan dibuang pada pada minit ke-37.

Lionel Messi dan Gary Medel berkonfrontasi dengan satu sama lain dan pengadil melayangkan kedua-dua mereka kad merah.

Lionel Messi yang kecewa dengan mutu pengadilan telah memboikot upacara penyampaian pingat gangsa Copa America dengan menyatakan beliau tidak mahu menyokong kejohanan yang penuh korupsi.

“Tiada keraguan segala-galanya telah diatur untuk Brazil. Saya berharap VAR dan pengadil tidak memainkan peranan sama dan Peru dibenarkan bertanding secara adil. Tetapi ini kelihatan sukar,” ujar beliau kepada wartawan selepas perlawanan.

“Saya tidak mahu menjadi sebahagian daripada skandal rasuah ini. Kami sepatutnya tidak menjadi sebahagian daripada penghinaan yang kami terima sepanjang Copa America ini.

“Saya sentiasa memberithu apa yang benar dan jujur. Kerana itulah saya boleh kekal tenang. Jika apa yang saya katakan ini mempunyai akibat lain, ia bukan urusan saya.

“Saya berpendapat apa yang berlaku dalam perlawanan ini adalah kerana apa yang saya katakan mengenai Brazil [selepas perlawanan separuh akhir].

“Apa yang saya katakan sebelum ini mungkin akan kembali menghantui saya,” ujar Messi lagi.

Messi sebelum ini mengutuk pengadil yang mengadili perlawanan di antara Brazil dan Argentina yang disifatkan beliau pilih kasih. Dan Messi merasakan kritikan itu telah membuatkan beliau dilayan teruk dalam perlawanan menentang Chile.

Messi mengakui beliau dan Medel berhak diberikan kad disiplin, tetapi beliau tidak bersetuju dengan pemberian kad merah.

Gary Medel kemudian tampil dengan pandangan beliau. Medel turut bersetuju dengan pandangan Lionel Messi bahawa pengadil melakukan pengadilan yang teruk terutama sekali ketika situasi percakaran beliau dan Messi.

Medel memberitahu Fox Sports: “Ya saya setuju dengan Messi. Saya tidak rasa kami berhak mendapat kad kuning sekalipun untuk insiden seperti itu.”

“Adalah beberapa aksi agresif antara kami, saya menjadi panas. Namun itu sebahagian daripada bola sepak dan pengadil sepatutnya mengawal keadaan dengan lebih baik.”

“Pengadil merosakkan segalanya yang sepatutnya menjadi pertarungan lebih baik antara Chile – Argentina.”

Medel juga turut bersetuju dengan komen Messi bahawa pengadil telah membantu Brazil dalam aksi menentang Argentina. Dan pada masa yang sama Medel menganggap penganjur sengaja menyusahkan Chile – juara bertahan – sebelum ini.

“Argentina terkesan dengan pengadilan teruk ketika menentang Brazil. Kami pula diletakkan di hotel yang sangat jauh ketika persiapan menentang Colombia.”

Perlawanan antara Chile dan Argentina menjadi panas. Pada separuh masa pertama sahaja lebih 20 kekasaran dilakukan kedua-dua pasukan.