McTominay Dianggap Tak Layak Dapat Gelaran Pemain Terbaik Ketika Bertemu Chelsea

Kejayaan Scott McTominay memenangi anugerah pemain terbaik ketika aksi bertemu Chelsea awal pagi tadi telah mendapat tentangan hebat dari legenda The Red Devils.

Bekas bintang Manchester United, Paul Scholes menegaskan yang Scott McTominay tak berhak untuk memenangi anugerah pemain terbaik ketika aksi bertemu Chelsea itu.

Manchester United kembali menemui rentak kemenangan mereka selepas skuad kendalian Erik ten Hag itu menewaskan Chelsea 2-1.

Bruno Fernandes terlebih dahulu berpeluang untuk membuka tirai jaringan dalam perlawanan tersebut, selepas beliau diberi tanggungjawab untuk menyempurnakan sepakan penalti.

Man United telah memenangi sepakan penalti selepas Enzo Fernandez mengasari Antony di dalam kotak penalti.

Bruno Fernandes walau bagaimanapun gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti tersebut, seterusnya menyebabkan Man United gagal memperoleh gol awal dalam perlawanan itu.

Scott McTominay kemudiannya meledak gol pertama Man United dalam perlawanan ini pada minit ke-19 permainan.

Bekas bintang Manchester City, Cole Palmer kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan hasil gol pertama beliau yang bukan dari sepakan penalti sepanjang musim ini.

Scott McTominay walau bagaimanapun berjaya menjaringkan gol kemenangan untuk Manchester United dalam perlawanan ini pada aksi babak kedua perlawanan.

Selepas menjaringkan dua gol dalam perlawanan ini, Scott McTominay telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.

Rata-rata peminat bersetuju dengan keputusan tersebut kerana mereka merasakan memang Scott McTominay lah yang paling layak untuk memenangi anugerah tersebut.

Walau bagaimanapun, legenda Manchester United, Paul Scholes pula merasakan hal yang sebaliknya dengan beliau menganggap bintang Scotland itu bukan pemain terbaik dalam perlawanan tersebut.

Paul Scholes percaya yang bintang muda Argentina, Alejandro Garnacho merupakan pemain yang sepatutnya memenangi anugerah tersebut.

Pemain berusia 19 tahun itu menggegarkan dunia bola sepak selepas kejayaan beliau menjaringkan gol lipat yang sungguh dahsyat bertemu Everton sebelum ini.

Beliau turut berjaya menjaringkan gol ketika aksi terikat 3-3 bertemu Galatasaray dalam saingan Champions League sebelum ini.

Garnacho berjaya mencatatkan assist untuk gol kedua Scott McTominay dalam perlawanan bertemu Chelsea itu.

Beliau turut dikatakan menjadi mimpi ngeri untuk pemain full-back Chelsea, Reece James sepanjang perlawanan tersebut.

“Saya rasa Garnacho beraksi dengan sangat bagus.”

Jelas Scholes kepada media Premier League.

“Saya fikir dia mungkin pemain terbaik yang berada di atas padang.”

“Saya tahu Scott menjaringkan dua gol dan menang anugerah pemain terbaik, tapi saya rasa Garnacho sungguh menakjubkan dan dia pamer aksi di tahap berbeza malam ini.”

Walau bukan bermain di posisi penyerang utama, namun McTominay sebenarnya sudah beberapa kali menjadi penyelamat Man United dengan menjaringkan gol-gol penting.

Beliau turut berjaya menjaringkan dua gol ketika aksi bertemu Brentford pada awal Oktober lalu.

Seorang lagi legenda Man United, Patrice Evra pula sementara itu tampil menyamakan McTominay dengan legenda England serta Chelsea, Frank Lampard.

Frank Lampard merupakan pemain midfield yang paling banyak menjaringkan gol dalam sejarah saingan Premier League.

Bercakap di Amazon Prime, Evra mendedahkan bahawa:

“Cara bagaimana dia menyelinap masuk ke kotak mengingatkan saya kepada Frank Lampard. Tak banyak.”

“Dia sentiasa berada di tempat yang betul dan di waktu yang tepat.”

Manchester United akan kembali memulakan aksi mereka dalam saingan Premier League pada hujung minggu ini bertemu Bournemouth di Old Trafford.

Skuad kendalian Erik ten Hag itu kini sedang berada di kedudukan keenam dalam carta saingan liga dengan mengumpul 27 mata dari 15 perlawanan.

Selepas selesai aksi bertemu Bournemouth, Manchester United perlu turun berdepan Bayern Munich di Old Trafford dalam saingan Champions League.

Skuad The Red Devils itu mempunyai misi wajib menang dalam perlawanan tersebut andai mereka berhasrat mahu layak ke pusingan kalah mati.

Namun begitu, kemenangan sahaja tak cukup untuk membantu Man United layak, dengan mereka juga turut perlu berharap agar Galatasaray hanya mencatatkan keputusan seri sahaja bertemu Copenhagen dalam aksi perlawanan terakhir nanti.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN