Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mahu penyerang skuad Perak TBG, Shahrel Fikri melakukan pertemuan dengan beliau sekiranya berhadapan dengan masalah di dalam skuad Perak.
Presiden PAFA yang juga merupakan Menteri Besar Perak itu berkata demikian setelah cakap-cakap di media sosial menggambarkan tindakan beliau memadam semua gambar bersama pasukan itu di akaun media sosial sebagai ‘tawar hati’.
Komen-komen di kalangan netizen mengganggap Shahrel berbuat demikain kerana sukar untuk mendapatkan minit perlawanan sejak beliau meninggalkan PKNP FC untuk beraksi bersama skuad kendalian Mehmet Durokovic – walaupun ketika Perak sukar mendapatkan gol dengan penyerang lain.
Status Shahrel bersama Perak sebenarnya adalah sebagai pemain pinjaman daripada PKNP FC yang akan tamat pada akhir tahun ini.
Ahmad Faizal yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berkata, setakat ini Shahrel yang dianggap sebagai anak angkatnya tidak pernah menyatakan ada masalah atau mahu menamatkan kontraknya yang dipinjamkan daripada PKNP sehingga akhir tahun ini.
Bercakap kepada pemberita dalam satu majlis, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian, Ahmad Faizal berkata:
“Saya pun tidak tahu [Shahrel tawar hati dengan Perak], cerita yang dia memadam gambar bersama pasukan Perak saya tidak tahu, saya pun tidak tahu jika dia ada masalah dalam skuad. Terima kasih kerana memaklumkan kepada saya, dan saya akan perhatikan.
“Setakat ini, dia [Shahrel] tidak pernah menyatakan hasrat untuk berpindah atau mengadu masalah dalam pasukan, saya anggap dia sebagai anak angkat saya. Dalam ramai pemain Perak, Shahrel saya anggap sebagai anak sendiri.
“Jadi tentunya jika dia ada masalah harap dapat jumpa dengan saya, bukan sebagai Presiden PAFA tetapi sebagai ayah dia,” ujar beliau.
Mengakui Shahrel adalah antara pemain yang beliau kagumi di negara ini, Ahmad Faizal bagaimanapun membiarkan masa depan pemain itu diputuskan sendiri oleh barisan EXCO di dalam PAFA.
Mengenai kontrak Shahrel yang akan tamat akhir tahun ini, Ahmad Faizal berkata penyerang itu adalah antara pemain yang paling dikaguminya di negara ini.
“Kalau saya pengurus pasukan, saya tentu akan menyenaraikannya [untuk beraksi] dan sudah pasti dia akan disambung kontrak.
“Namun, sebagai Presiden PAFA, saya sentiasa menghormati keputusan yang dibuat EXCO PAFA dan pengurus pasukan kerana untuk kita memperkasa pasukan, kita tidak boleh ada banyak kepala, tidak boleh ada banyak jeneral.
“Jika kita sudah beri tanggungjawab kepada seseorang itu, kita harus menghormati keputusan yang dia buat,” katanya.
Sepanjang kempen Liga Super yang lalu, Shahrel beraksi dalam 18 perlawanan. Sembilan daripadanya adalah sebagai pemain gantian. Shahrel juga menjaringkan hanya satu gol sepanjang kempen Liga Super yang lalu.
Beliau kini sedang sibuk dengan persiapan bersama skuad kebangsaaan kendalian Tan Cheng Hoe untuk perlawanan kelayakkan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. Malaysia akan bertemu dengan Jordan dalam perlawanan persahabatan Jumaat ini, sebelum ke negara jiran, Indonesia untuk perlawanan kelayakan tersebut.