Menteri Besar Perlis, Datuk Azlan Man mempersoalkan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenai Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, yang dikategorikan sebagai antara stadium yang tidak selamat.
Menurutnya, kerajaan negeri telah peruntukkan hampir RM20 juta untuk membaiki stadium termasuk memperbaiki lampu limpah stadium baru-baru ini dan mengapa baru kini, isu ini timbul.
“Sudah puluhan tahun lamanya kerajaan negeri dan pasukan bola sepak negeri menggunakannya sebagai venue utama untuk pelbagai acara domestik dan antarabangsa.
“Sewaktu penganjuran SUKMA pada 2014 kita memperuntukkan hampir RM17 juta untuk renovasi stadium dan baru-baru ini hampir RM2.5 juta sudah disalurkan bagi memperbaiki lampu limpah,” ujarnya yang dipetik daripada Berita Harian.
“Kenapa isu ini tidak timbul ketika itu?” soalnya lagi ketika ditemui pihak media pada Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang di Sembilan Puncak di Perlis, kelmarin.
Sebelum itu, salah sebuah media tempatan telah melaporkan 13 daripada 21 stadium dalam negara berisiko kepada penonton kerana tidak selamat untuk digunakan berikutan tidak memperoleh Sijil Pematuhan Kod (CCC) atau Sijil Layak Menduduki (CF).
Antara stadium yang terlibat adalah Stadium Darul Aman (Kedah), Stadium Majlis Perbandaran Selayang (Selangor) dan beberapa buah stadium di Perak, Johor dan juga Terengganu.
Perkara itu telah didedahkan Ketua Seksyen Perakuan Keselamatan Bangunan Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM, Datuk Zamri Che Din yang turut memaklumkan ketiadaan CCC untuk stadium berkenaan adalah disebabkan oleh binaannya menjangkau usia lebih 20 tahun, serta tiada ciri keselamatan yang dipatuhi.
Mengulas lanjut, Azlan Man berkata akan meneliti semula dengan pihak berkaitan dengan kenyataan oleh pihak Bomba itu.
“Saya akan memeriksa perkara ini dan sekiranya betul pun dakwaan itu, ia hanyalah pada proses dokumentasi kerana proses itu sememangnya mengambil masa yang lama.
“Selain itu, stadium di negeri ini sudah menepati ciri keselamatan yang ditetapkan dan tidak timbul isu ia bakal menjadi bom jangka pada penonton,” tambahnya lagi sebelum menutup bicara.
Kredit Featured Image: Umno Online