Kali terakhir Terengganu muncul juara Piala FA adalah pada tahun 2011 dan ketika itu skuad Sang Penyu diketuai oleh Mazuki Yusof berjaya mengetepikan Kelantan 2-1 selepas masa tambahan.
Itu cerita 11 tahun lepas, namun bagi Mazuki yang merupakan bekas ketua pasukan menyeru agar pemain dapat mengulangi kejayaan mereka dengan membenam cabaran Johor Darul Ta’zim (JDT).
Beliau yakin skuad yang ada ketika ini mampu memberi saingan serta aksi terbaik perlawanan akhir nanti.
Mazuki menyifatkan JDT sememangnya pasukan terkuat di Liga Malaysia ketika ini namun selagi wisel penamat belum di tiup oleh pengadil, apa sahaja boleh berlaku apatah lagi semasa perlawanan akhir.
Sudah tentu suasana di stadium serta semangat juang pemain juga akan berbeza berbanding perlawanan sebelum ini.
Beliau pasti pasukan yang dapat mengurangkan kesilapan dan bijak mengambil peluang akan mampu mendakap piala pada malam itu.
” Apa yang penting bagi menghadapi perlawanan akhir seperti ini, anda buang rasa gentar sebelum masuk padang, kawal emosi dan sokong rakan-rakan sepasukan kerana kita sahaja yang akan bekerja di tengah padang, moral antara rakan-rakan kita sendiri yang akan bentukkan,” katanya menerusi laman rasmi Terengganu.
Sebagai seorang pemain yang cukup berpengalaman dalam arena bola sepak dan pernah beraksi di pentas akhir, sudah pasti Mazuki sangat arif dengan situasi sedemikian terutama berkaitan emosi.
Dengan sorakan penyokong hampir 80,000 orang pasti mampu mempengaruhi gaya permainan seseorang pemain diatas padang.
Boleh dikatakan kebanyakkan pemain dalam skuad Terengganu kali ini akan menikmati perlawanan akhir pertama dalam karier mereka.
Ini adalah berbeza dengan skuad JDT yang mempunyai ramai pemain berpengalaman beraksi di kancah akhir.
Ulang sejarah 2011
Mazuki berharap sejarah dapat diulangi sekali gus membawa pulang kembali Piala FA ke negeri itu.
Ketika ini, kem Terengganu berada di prestasi terbaik menjelang perlawanan akhir apatah lagi momentum kemenangan dalam saingan liga menentang Melaka United dapat menaikkan lagi moral para pemain.
Skuad kendalian Nafuzi Zain juga boleh menarik nafas lega seketika apabila penjaga gol utama mereka, Rahadiazli Rahalim sudah kembali menjalani latihan bersama mereka.
Sudah pasti Nafuzi ingin menggunakan khidmat penjaga gol tinggi lampai ini untuk memastikan pintu gol mereka terus kebal dari dibolosi pemain JDT.
Tempoh hari, penjaga gol berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan serius ketika menentang Melaka dan terpaksa di bawa ke hospital dengan segara untuk menerima rawatan lanjut.
Bahang perlawanan akhir Piala FA kian terasa dan tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum sepak mula antara Terengganu dan JDT.
Sudah pasti persiapan dilakukan sebaik mungkin oleh kedua-dua pasukan untuk memberi aksi terbaik dalam perlawanan itu nanti.