Mazlan Abdul Wahid adalah satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kancah bola sepak negara terutamanya buat para penyokong pasukan Sarawak.
Mazlan yang memulakan karier bola sepak bersama negeri kelahirannya, Melaka telah berjaya mencuri tumpuan jurulatih Sarawak, Alan Vest yang begitu tertarik dengan ketangkasan yang dipamerkan Mazlan ketika berdepan skuad bimbingan pengendali dari Barnsley, England itu.
Ketika dihubungi oleh Semuanya BOLA, Mazlan menceritakan detik perpindahannya ke Sarawak.
”Saya masih ingat sewaktu itu saya sedang beraksi untuk Melaka dalam saingan Piala Emas Raja-Raja, Alan Vest dan Abdullah Mail telah menghubungi saya dan menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat saya di Sarawak.”
”Segalanya berjalan lancar dan saya telah berhijrah ke Sarawak pada musim 1992.”
Impak pantas ketika di Sarawak
Kehadirannya di Sarawak begitu disenangi oleh rakan sepasukan seperti Abdul Jalil Rambli, Roslan Ismail, David Evans, Dahlan Matusin, Ibrahim Mantali dan ramai lagi.
Mazlan membantu Sarawak meraih gelaran juara Piala FA 1992 yang juga merupakan pada musim pertamanya bersama pasukan setelah berjaya menewaskan Kuala Lumpur yang dibarisi pemain bintang pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kuching.
Antara kejayaan lain yang dikecapi ‘tangan emas’ ini ketika bersama Sarawak adalah menjuarai Liga Perdana 1997 dan Piala Sumbangsih 1998 menewaskan Selangor.
Kejayaan menjuarai Liga Perdana 1997 juga turut dibantu dengan kekebalan benteng pertahanan serta ketangkasan aksi yang dipamerkan Mazlan Wahid apabila Sarawak hanya dibolosi 23 gol dalam satu musim. Jumlah bolos paling sedikit yang dicatatkan berbanding 14 pasukan yang lain.
Ketiga-tiga kejuaraan yang dimenangi Mazlan itu merupakan pencapaian terbaik dalam sejarah bola sepak Sarawak sehingga ke hari ini.
Prestasi baik Mazlan telah membuatkan beliau dipilih untuk membarisi skuad negara bagi menghadapi saingan Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun. Mazlan dipanggil bersama-sama Khairul Azman Muhammad.
Pada tahun 1994 juga menyaksikan Mazlan telah mendapat pengiktirafan sebagai pemenang ‘Anugerah Sarung Tangan Emas’ dari Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia.
Rahsia kehebatan Mazlan Wahid
”Tidak ada sebarang rahsia disebalik prestasi saya di atas padang, saya hanya memberikan arahan dan peringatan kepada rakan sepasukan terutamanya pemain pertahanan untuk mengawal keadaan yang membahayakan gawang dengan baik.”
”Hal ini kerana saya sebagai penjaga gol, dapat melihat keseluruhan padang dari bawah dan di samping berusaha untuk mengelakkan pintu gol saya dari dibolosi, saya akan menegur kealpaan yang dilakukan oleh pemain pertahanan.”
Dalam masa yang sama, Mazlan Wahid juga bersyukur kerana ketika beraksi bersama Sarawak, beliau mempunyai sokongan yang cukup baik di bahagian pertahanan yang sewaktu itu dibarisi pemain-pemain pertahanan yang mantap.
”Barisan pemain pertahanan juga begitu mantap ketika itu. Pemain seperti Dahlan Matusin, Roslan Ismail, Zaidel Sakup serta Ahmad Fairuz Yunus cukup ‘solid’ dan mereka sangat membantu saya untuk lebih yakin mengawal pintu gol.”
Penyokong Sarawak sentiasa memberikan sokongan penuh
Mazlan yang kini berusia 52 tahun menyifatkan sokongan penuh dari para penyokong Sarawak ketika beraksi disana turut membantu prestasi baik yang ditampilkannya.
”Penyokong Sarawak juga menjadi salah satu kunci kepada kekuatan saya apabila mereka sentiasa memberikan sokongan penuh buat saya di waktu sukar ataupun senang.”
Mazlan mencurahkan bakti selama 9 tahun di Sarawak dan akhirnya berhijrah ke Kedah pada musim 2002.
Curah pengalaman yang dimiliki kepada penjaga gol
Pengalaman yang dimiliki Mazlan sebagai salah seorang penjaga gol terbaik di Malaysia pada zamannya tidak disia-siakan begitu sahaja apabila anak kelahiran Melaka ini menjadi jurulatih penjaga gol sebaik sahaja menamatkan kariernya di MBPJ Selangor.
Mazlan pernah berkhidmat selaku jurulatih penjaga gol di MBPJ, PDRM, Sekolah Sukan Bukit Jalil, Harimau Muda dan kini bersama Melaka United.
Antara penjaga gol yang pernah mendapat bimbingan dari beliau ialah Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak), Mohd Farhan Abu Bakar (PKNS FC), Ahmad Solehin Mamat (Kuala Lumpur) dan Mohamad Ramadhan Hamid (Kedah).
Nasihat Mazlan
Mazlan Wahid mengharapkan para pemain yang kini berada dalam kancah bola sepak negara supaya mementingkan aspek dalam memperbaiki kualiti yang dimiliki oleh mereka untuk terus meningkat.
Perkara ini diperlukan untuk menjadikan skuad kebangsaan sebagai sebuah pasukan yang mampu untuk bersaing dengan lebih hebat di peringkat yang lebih tinggi.