Quantcast

BERITA

Maxim Gullit, Bintang Bola Sepak Belanda Dalam Pembikinan?

Siapa yang tidak kenal akan Ruud Gullit. Bintang AC Milan pada lewat 1980 an sehingga pertengahan 1990 an ini dianggap antara pemain paling berbakat yang pernah dihasilkan  oleh Belanda.

Merupakan salah seorang anggota skuad The Orange yang muncul juara Euro 1988 di Jerman Barat, nama Gullit turut sebaris dengan legenda-legenda bola sepak dari negara tersebut seperti Marco van Bansten, Frank Rijkaard dan juga Dennis Bergkamp yang juga merupakan anggota skuad Belanda pada era tersebut.

Generasi baharu

Seorang anak mengikut jejak langkah ayah untuk menjadi pemain bola sepak profesional bukan perkara baharu di dalam bola sepak. Justin Kluivert misalnya adalah anak kepada bekas penyerang Belanda, Patrick Kluivert.

Seperti juga Kluivert, Ruud Gullit kini boleh berasa bangga apabila anak lelaki beliau, Maxim Gullit melakukan penampilan pertama bersama pasukan AZ Alkmaar B menentang FC Twente baru-baru ini.

Maxim baru berusia 17 tahun, merupakan produk akademi bola sepak AFC Amsterdam sebelum memutuskan untuk berhijrah menyertai AZ Alkmaar pada Julai 2017.

Perlawanan tersebut berakhir seri tanpa jaringan menyaksikan Maxim diturunkan dari bangku pemain simpanan ketika perlawanan berbaki 19 minit.

Bangga

Bercakap kepada Fox Sport selepas perlawanan, Maxim berkata: “Penampilan pertama itu adalah istimewa. Soal siapa ayah saya tidak akan mengganggu saya. Saya adalah Maxim Gullit dan saya mahu bekerja keras untuk terus maju ke hadapan,” ujar beliau.

Tidak seperti ayahnya yang dikenali sebagai pemain tengah menyerang yang kreatif, Maxim merupakan seorang pemain pertahanan.

Menjadikan Maxim lebih unik, ibu kepada beliau ialah Estelle Cruyff – anak saudara kepada legenda Ajax, Barcelona dan Belanda, Johan Cruyff.

Kedua ibu bapa Maxim meluahkan rasa bangga dengan debut profesional anak mereka di laman sosial masing-masing.

Adakah Maxim Gullit mampu mencipta nama seperti ayah dan ayah saudara beliau di dalam bola sepak satu hari nanti?

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!