Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri menegaskan bahawa hanya kemenangan dan kejayaan memenangi piala dapat ‘memujuk’ para penyokong The Blues untuk bersamanya.
Bagi Sarri, peminat meletakkan harapan yang terlalu tinggi dan meminta supaya diberikan ruang dan masa untuk beliau membuktikan sesuatu buat Chelsea.
Chelsea ketika ini bersama-sama Arsenal, Tottenham Hotspur dan Manchester United masih lagi bersaing bagi merebut tempat ketiga dan keempat bagi membolehkan kembali layak ke saingan Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan.
Satu lagi pilihan yang dimiliki Sarri dan anak buahnya adalah dengan menjuarai Liga Europa apabila Chelsea akan berdepan Slavia Praha di peringkat suku akhir.
Juara Liga Europa secara automatik akan melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah.
Maurizio Sarri jelas mengerti kerisauan para peminat atas prestasi turun naik yang dipamerkan Chelsea ketika ini.
Aksi bertemu Cardiff City minggu lalu menunjukkan Chelsea begitu bergelut untuk meraih kemenangan dan terpaksa menanti hingga lewat permainan bagi mencipta dua jaringan.
”Saya tahu hanya ada satu jalan: kami perlu memenangi perlawanan. Kami juga perlu memenangi trofi. Saya hanya tahu cara ini.”
”Saya tidak tahu (mengapa peminat tidak di sebelah saya). Mungkin kami ada melakukan kesalahan,” jelas Sarri kepada wartawan.
”Saya tidak tahu apa-apa. Mungkin kami perlu untuk memenangi lebih perlawanan. Saya tidak tahu. Tetapi kami mempunyai peluang untuk menepati sasaran.”
”Kami boleh menamatkan musim ini dalam kalangan empat pasukan teratas. Kami boleh mencuba untuk memenangi perlawanan akhir Liga Europa. Jadi, musim ini boleh menjadi musim yang sangat baik.”
”Berkemungkinan para peminat kami merasakan ia akan menjadi musim yang mudah buat kami. Dalam Liga Perdana Inggeris, saya merasakan ia tidak mudah.”
”Setiap perlawanan adalah sangat sukar, setiap pasukan cukup kuat. Ia sangat sukar untuk berada di kelompok empat pasukan teratas dalam saingan ini.”
”Seperti saya katakan dalam setiap sidang media. Kami berdepan kesukaran. Kami bermula dengan sangat baik, sedikit nasib dalam beberapa perlawanan dengan semangat juang yang tinggi.”