Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri memberikan bayangan bahawa beliau kini lebih gemar meletakkan Eden Hazard di bahagian serangan bagi memainkan peranan sebagai ‘false nine’ berbanding daripada membariskan Alvaro Morata.
Morata kelihatan semakin disisihkan Sarri selepas sudah empat perlawanan tidak langsung berada dalam senarai pemain.
Malah, Sarri dilihat lebih memilih untuk meletakkan Olivier Giroud sebagai pemain simpanan.
Pemain kelahiran Sepanyol itu dijangka turut terlepas aksi bertemu Crystal Palace di Selhurst Park, malam ini.
Lebih menggembirakan Sarri adalah keupayaan Eden Hazard menjaringkan tiga gol daripada empat penampilan sebagai penyerang dan menampakkan beliau sudah serasi dengan peranan tersebut.
”Kami perlu seimbang di dalam padang dan menjadi lebih kukuh,” kata pengendali kelahiran Itali itu.
”Pada perlawanan terakhir, saya lebih memilih penyelesaian sebegini (meletakkan Hazard di hadapan). Pada masa hadapan, segalanya akan terbuka.”
”Saya merasakan yang Alvaro (Morata) lebih baik di dalam kotak dan lebih baik di ruang serangan tetapi saya perlu mengatakan Eden (Hazard) semakin meningkat seperti yang anda lihat pada perlawanan terakhir dengan dua gol dihasilkannya.”
”Ia berbeza kerana Eden lebih baik apabila dia bermain dengan pemain tengah dan membuka ruang.”
‘”Saya mahu melihat keadaan fizikal para pemain. Kami akan membuat keputusan selepas sesi latihan.”
”Alvaro juga berpotensi untuk menjadi pemain yang cukup baik. Dia cergas, ya.”
Eden Hazard ketika ini berjaya menjaringkan 10 gol dan mencipta sembilan bantuan jaringan selepas mengharungi 19 perlawanan Liga Perdana Inggeris.