Pengurus Chelsea, Maurizio Sarri mengakui bahawa pemain tengah sedang meningkat naik, Ruben Loftus-Cheek mampu untuk terus menyinar sekaligus menjadi pemain bintang buat kelab London tersebut.
Pemain tengah berusia 22 tahun itu telah membuktikan keupayaannya apabila berjaya memenangi hati Gareth Southgate yang menyenaraikannya dalam skuad kebangsaan England bagi saingan Piala Dunia 2018 tempoh hari.
Ketika itu beliau beraksi selaku pemain pinjaman buat Crystal Palace.
Walaupun hanya diturunkan sekali sebagai pemain kesebelasan utama ketika bertemu Wolves serta dimasukkan lima kali sebagai pemain simpanan, Loftus-Cheek berupaya untuk mencipta tiga jaringan.
Sarri bagaimanapun memberikan peluang yang luas buat Loftus-Cheek untuk membuktikan sesuatu apabila sentiasa diturunkan sebagai kesebelasan utama (lima perlawanan) dalam saingan Liga Europa dan turut berjaya melakukan hatrik pada perlawanan bertemu BATE Borisov.
”Ruben (Loftus-Cheek) merupakan seorang pemain yang sangat baik dan berpotensi, dia pemain yang hebat.”
”Dia telah beraksi kesemua tujuh perlawanan pada bulan lalu, jadi saya sangat gembira dengannya. Dia menunjukkan banyak peningkatan dari sudut pandang saya.”
”Pada masa hadapan, dia akan menjadi pemain tengah tetapi kadangkala kami memerlukannya sebagai pemain sayap, terutamanya ketika babak akhir permainan dengan impak fizikal yang dimilikinya.”
”Jadi, dia merupakan pemain yang sangat penting buat kami.”
”Pada masa hadapan, dia akan menjadi seorang pemain yang lebih penting.”
Ruben Loftus-Cheek dijangka akan terus diberikan peluang oleh Sarri beraksi sebagai pemain simpanan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris apabila Chelsea akan bertemu Leicester City di Stamford Bridge, malam ini.