Satu berita menarik buat penyokong Tottenham Hotspur!
Pengurus mereka iaitu Mauricio Pochettino telah bersetuju untuk melanjutkan kontrak beliau bersama kelab utara London itu untuk tempoh 5 tahun lagi.
Pembaharuan kontrak ini sekali gus menamatkan sebarang spekulasi yang pengurus berbangsa Argentina itu akan meninggalkan kelab tersebut.
Bagi Pochettino, pembaharuan kontrak beliau bersama kelab cukup signifikan bagi dirinya kerana pada ketika ini beliau akan membawa kelab ke satu tahap baharu.
Ia turut ditambah dengan era baharu menanti Tottenham Hotspur apabila mereka akan kembali ke White Hart Lane yang berwajah baharu untuk musim 2018/2019.
“Saya berasa cukup terhormat untuk menandatangani kontrak jangka panjang baharu bersama kelab.”
“Kami menghampiri saat penuh signifikan buat kelab dengan saya akan mengetuai pasukan ini di era stadium baharu kelab.”
Prestasi yang ditampilkan oleh Pochettino sejak tiba dari Southampton cukup mengagumkan.
Hal ini dapat dibuktikan apabila beliau berjaya mengangkat Tottenham Hotspur ke satu tahap yang lebih tinggi terutamanya dalam saingan Premier League.
Selain itu juga, kejayaan beliau memberikan kelayakan untuk beraksi di UEFA Champions League turut memainkan peranan mengapa beliau terus diperlukan di utara London.
“Pochettino telah membawa masuk sebuah semangat yang menakjubkan dan membawa sebuah corak permainan yang peminat kami cukup gemar menontonnya,” kata pengerusi kelab – Daniel Levy.
“Saya tahu mereka pasti akan mengalu-alukan kehadiran komitmen Pochettino kepada kelab ini.”