Matthew Davies Yakin Kualiti Pemain Baharu Pahang

Matthew Davies

Ketua pasukan Pahang, Matthew Davies mengakui terdapat kualiti yang dimiliki barisan pemain yang baharu dibawa masuk ke dalam pasukan tersebut bagi memberikan sumbangan berkesan dalam kempen Liga Malaysia 2020 nanti.

Pahang baharu sahaja mendapat khidmat dua pemain import baharu iaitu Ivan Carlos dari Brazil dan juga pemain Filipina, Adam Reed, di samping mengekalkan pertahanan kental, Herald Goulon.

Dalam perkembangan yang sama, naib juara Liga Super 2019 itu juga bakal diperkuatkan dengan dua pemain yang dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Fazly Mazlan dan S. Kumaahran manakala Sharbinee Allawee dan Muhammad Gopi Rizqi lebih awal menyertai pasukan.

”Para peminat menjangkakan sesuatu yang tinggi daripada pasukan besar seperti Pahang dan ia merupakan perkara normal tetapi saya mengharapkan agar mereka bersabar.”

”Adalah lebih baik untuk berhati-hati dalam mendapatkan pemain baharu,” ujar Davies kepada wakil The Star Online.

”Saya sudah menjalani latihan bersama pemain baharu dalam pasukan ini dan mereka mempunyai kualiti. Saya telah bermain bersama Fazly dan Kumaahran ketika bersama skuad kebangsaan dan pasukan bawah 23 tahun negara sebelum ini, jadi mereka merupakan tambahan yang cukup baik juga.”

”Kami mempunyai empat minggu lagi bagi membuat persiapan sebelum musim bermula dan kami sedang bekerja keras,” ujar Matthew Davies lagi.

Pahang sebelum ini telah melepaskan beberapa pemain musim lalu, antaranya seperti Norshahrul Idlan Talaha, Zubir Azmi, Afif Amiruddin, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Remezey Che Ros, M. Kogileswaran Raj, A. Solomon dan Wafieyuddin Shamsudin.

Matthew Davies turut menyifatkan ketiadaan pemain-pemain tersebut akan memberikan ruang buat pemain muda yang lain untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

”Kami kehilangan beberapa pemain berkualiti tetapi mereka bukan pemain yang sentiasa mengisi kesebelasan utama, jadi kami masih mampu walaupun tanpa mereka. Ia juga dapat memberikan ruang buat pemain muda seperti R. Dinesh dan Faizal [Halim] untuk mengambil tanggungjawab.”

”Kami perlu bersabar dan percaya kepada proses, pasukan ini sedang dibina semula dan sekiranya semuanya berjalan dengan lancar, keputusan akan menjelma”

Leave a Reply