Nemanja Matic berkata beliau sama sekali tidak akan memakai poppy pada jersi Manchester United yang dipakainya ketika perlawanan, kerana ia mengingatkan perkampungan beliau yang dibom ketika berusia 12 tahun.
Perkampungan Matic adalah salah satu penempatan yang dibom pada 1999 selepas Nato bertindak menghalau penempatan Serbia dari Kosovo.
Matic adalah satu-satunya pemain Manchester United yang tidak memakai poppy ketika Manchester United mencatat kemenangan 2-1 ke atas Bournemouth pada Sabtu lalu.
Perkara berkenaan dijelaskan oleh pemain tengah berusia 30 tahun itu melalui satu muat naik di laman Instagram miliknya baru-baru ini.
Walaupun menghormati dan faham mengapa ianya dipakai sebagai simbolik memperingati perajurit yang terkorban dalam peperangan, Matic mempunyai pendirian dan sebab beliau tersendiri.
Malah bekas pemain tengah Chelsea ini juga berkata beliau tidak akan memakai poppy dalam perlawanan derbi Manchester yang akan berlangsung di Etihad pada hujung minggu akan datang.
“Saya memahami mengapa ramai menggunakan poppy. Saya menghormati pendirian setiap pihak yang memilih untuk berbuat demikian. Saya juga bersimpati dengan semua pihak yang kehilangan orang tersayang ketika konflik berlaku.
“Namun demikian ia hanya mengingatkan saya kepada serangan yang saya alami sendiri ketika zaman kanak-kanak. Saya hanya seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang tinggal di Vrelo pada ketika itu. Negara saya dihancurkan oleh serangan bom terhadap Serbia pada 1999.
“Walaupun pernah memakai poppy dalam perlawanan sebelum ini, ia adalah perasaan yang berbeza selepa saya merenungkan kembali kejadian lalu, dan jika memakai poppy pada jersi saya.
“Saya bukan mahu memperlekehkan penggunaan poppy kerana ia adalah simbolik dan kebanggaan di Britain. Namun semua orang melalui keadaan yang berbeza. Ini adalah pilihan peribadi yang saya harus lakukan.
“Saya berharap semua pihak boleh memahami alasan yang saya berikan, dan setelah memberi penjelasan ini, saya hanya mahu memberikan fokus membantu pasukan saya berhadapan perlawanan seterusnya,” ujar Matic dalam kenyataan di Instagram miliknya.
Menurut The Royal British Legion, pilihan untuk memakai poppy harus menjadi pilihan peribadi seseorang tanpa sebarang paksaan.