Quantcast

LIGA MALAYSIA

Mateo Roskam Puji Semangat Juang Rakan Sepasukan Bantu UKM FC Tewaskan Kuala Lumpur

Penyerang import UKM FC, Mateo Roskam menghamburkan pujian kepada rakan sepasukan yang membuktikan reputasi serta pemain berstatus bintang bukanlah jaminan dalam mencipta kejayaan selepas mereka mengejutkan pasukan Liga Super, Kuala Lumpur,3-0 pada aksi ketiga Kumpulan B Challenge Cup.

Walaupun skuad UKM dibarisi 70 peratus pelajar sepenuh masa serta tanpa nama besar dalam kancah Liga Malaysia, itu bukan halangan buat The Varsity Boys meraih kemenangan kedua dalam Challenge Cup sekaligus mengukuhkan peluang ke separuh akhir.

Penyerang dari Croatia itu bukan hanya mencipta jaringan pendahuluan pada minit ke-35 malah mencipta peluang gol kedua oleh Wan Mohd. Faiz Wan Sulaiman, m-64 manakala satu lagi jaringan menerusi Syed Sobri Syed Mohd m-90.

“Semua orang tahu mereka (Kuala Lumpur) ada ramai pemain ternama dan begitu dikenali namun kami membuktikan kita ada jiwa yang besar dan sentiasa ada sifat mahu mencabar.

“Maka sebarang nama atau reputasi itu tidak beri sebarang makna sebaliknya kita yang menunjukkan yang kita ada kualiti dengan meraih kemenangan cukup penting, hari ini.

“Lawan mungkin ambil sedikit mudah terhadap kami kerana mereka datang dari Liga Super tetapi perkara itu menjadikan kami lebih bermotivasi dan apa paling penting tiga mata ini letakkan kami makin hampir ke separuh akhir, ” katanya yang ditemui selepas perlawanan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Juzaili Samion

Ketiadaan ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin, yang menghadiri kursus kejurulatih Lesen Pro tidak mematahkan semangat pembantunya, Juzaili Samion, yang terharu melihat kesungguhan anak buahnya melakar kemenangan yang dianggap cukup sensasi.

Malah beliau sendiri terkejut kemampuan anak buahnya mampu meraih kemenangan sebegitu selesa dan situasi itu kini meletakkan mereka semakin optimis mampu ulangi sejarah ke final Challenge Cup, seperti mana musim lalu.

“Walaupun Sulaiman tiada di sini beliau sentiasa berhubung dengan saya dalam memberikan nasihat dan panduan taktikal yang beliau mahukan, jadi itu bukan satu masalah.

“Semua pemain mengikuti pelan yang kami tetapkan dan saya sama sekali tidak menduga kami menang dengan angka sebegini, jadi kami amat bermotivasi untuk melakar sesuatu musim ini dan mahu menjejak kaki ke final sekali lagi.

“ Keserasian dan komitmen bukanlah satu isu besar kepada pasukan yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar, ini mungkin salah satu sebab kenapa kami sentiasa mampu beraksi sebagai satu pasukan, “ katanya.