‘Matanglah Sikit!’ – Mungkin Sudah Tiba Masanya Faisal Halim Buang Imej ‘Budak Nakal’?

Faisal Halim imej budak nakal Terengganu FC

Insiden pemain Terengganu FC atau dikenali ‘budak nakal’, Faisal Halim yang dilihat membuat provokasi kepada penjaga gol Sri Pahang FC, Mamadou Samassa menjadi bualan hangat ramai dan menjadi tular di media sosial.

Faisal dilihat seolah-olah meniru aksi Samassa cuba menyelamatkan sepakan penalti yang diambilnya pada minit ke-80 ketika Terengganu menundukkan Sri Pahang 2-1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Ahad lalu.

Terengganu memenangi perlawanan tersebut hasil jaringan Kpah Sherman dan juga Faisal yang dilihat ‘senyap’ sepanjang sejam aksi berlangsung. Beliau hanya dilihat kembali ke dalam perlawanan selepas minit ke-60.

Insiden ke-4 melibatkan Faisal Halim

Ini merupakan insiden ke-4 melibatkan Faisal yang telah menjadi tular. Mungkin ada lagi insiden lain yang tidak menjadi tular sepertimana tiga lagi insiden yang melibatkannya dengan pemain-pemain seperti dari Kedah Darul Aman FC, Syazwan Zainon, Hadin Azman (KL City FC) dan pemain Johor Darul Ta’zim {JDT), Safiq Rahim.

Selain itu, beliau pernah menerima kesan daripada tindakannya dalam perlawanan seperti jersinya dicekak lawan iaitu Azamuddin Akil (Kedah) dan Hadin selain ‘headbutt’ ala Zinedine Zidane oleh Safiq Rahim.

Adakah Faisal belajar sesuatu daripada provokasi dan kesannya? Nampaknya tidak apabila Samassa menjadi mangsa terbarunya tempohari. Kita tahu beliau ada sisi humor dalam dirinya tetapi itu adalah di luar padang.

Apabila Faisal membawa imej ‘budak nakal’ ke dalam padang, ia sudah menjadi sesuatu yang makin negatif.

Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Zuraimi Zukri, sebagai pemain yang sudah di tahap antarabangsa apabila semakin kerap menyarung jersi skuad kebangsaan, Faisal harus belajar untuk memperbaiki sikap dan karektornya. Apa yang dilakukannya di luar padang tidak lagi sesuai untuk dibawanya ke dalam padang.

“Dan satu lagi, benda-benda gini tak sesuai ada dalam ‘top division’. Kat [liga] M3 boleh. Nanti orang nampak ‘low class mentality’ walaupun ada skill ‘high class’.”

“Cuba bayangkan Faisal main di ‘top league’ macam EPL dan buat macam tu, satu England kecam dan mungkin digantung oleh kelab. Semakin tinggi Faisal berada, semakin tinggi tanggungjawabnya.”

“Termasuk sikap.”

Facebook Zuraimi Zukri

Zuraimi Zukri tentang insiden Faisal Halim
FOTO: Facebook Zuraimi Zukri

Siapa lagi pernah dilabel ‘budak nakal’ di Liga M?

Selain Faisal Halim, Liga Malaysia (Liga M) tidak pernah ketandusan imej ‘budak nakal’. Ada beberapa lagi pemain yang boleh kita katakan sama ‘level’ dengan Faisal dalam membuat provokasi dan menjadi nakal.

Penyerang JDT yang tidak pernah kering dengan kontroversi satu masa dahulu, Jorge Pareyra Diaz boleh kita label salah seorang pemain yang gemar membuat provokasi. Masih ingat gaya beliau meraikan golnya? Ramai menganggapnya sebagai ‘menganjing’ pemain lawan apabila meraikan gol dengan gaya ‘berkepak ayam’.

Namun, JDT telah tampil menjelaskan bahawa gaya Diaz meraikan gol itu adalah dedikasi dan simbolik kepada anak lelakinya yang gemar melakukan aksi tersebut ketika bersamanya di rumah – tiada elemen ‘menganjing’.

Selain Diaz, bekas pemain tengah Perak FC, tindakan Leandro dos Santos yang meraikan jaringan di depan bek tengah Terengganu, Igor Zonjic selepas tertampan bola ke gawang sendiri untuk The Bos Gaurus mengikat kedudukan dalam pentas final Piala Malaysia 2018. Perak menang 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti.

Masih ingat insiden Syamim Yahya memijak kaki Amri Yahyah dalam pertembungan Melaka United dan Sabah FC ataupun insiden menunjuk isyarat lucah yang menyebabkan Syamim digantung perlawanan dan didenda RM500 oleh Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 2017 ketika bersama Pahang?

Itu antara watak-watak ‘budak nakal’ dalam Liga M. Selain mereka, terdapat lagi pemain lain yang mungkin para penyokong mampu menyebutnya satu persatu jika diminta. Tetapi, cukuplah setakat tiga pemain itu sahaja.

Kita tidak menyokong imej ‘budak nakal’ dalam bola sepak tetapi kita juga harus akui yang adakalanya kita terhibur dengan ‘aksi’ mereka. Cuma ia mencerminkan sesuatu yang tidak cantik buat Liga M umumnya.

Mungkin sudah tiba masanya Faisal membuang imej tersebut sebelum ia memberi kesan buruk buat dirinya. Mujur buat dirinya, Samassa tidak dapat mengejarnya pada malam itu, jika tidak, mungkin tubuh kecilnya dihenyak penjaga gol tinggi lampai itu yang tampak berang dan terbeliak matanya merenung Faisal dari jauh.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN