Di saat adanya pemain tempatan yang berjaya mengembangkan kariernya di luar negara, apa yang sewajarnya berlaku adalah muncul rakyat Malaysia yang memberikan sokongan dan dorongan kepada pemain berkenaan serta merasa bangga.
Tetapi lain pula ceritanya apabila penyerang veteren Harimau Malaya, Norshahrul Idlan Talaha membuat keputusan untuk menyertai kelab Liga 1 Thailand, Bangkok Glass Pathum United pada bulan lepas.
Mungkin ada sebahagian penyokong yang beranggapan kuderat pemain berusia 33 tahun itu tidak lagi selincah atau sepantas satu masa dahulu ketika zaman kemuncaknya terutamanya ketika Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki kira-kira 10 tahun lepas.
Mat Yo (Malaysia vs Indonesia 2010 FINAL AFF)
— eh (@akmalhilmi) November 19, 2019
vs@safawi37 (Malaysia vs Indonesia 2019 WORLD CUP QUALIFIER)#malaysiavsindonesia #MASvsINA #WCQ2022 pic.twitter.com/UJKKJWaA9p
Sehinggakan ada individu yang tidak bertanggungjawab menjadikan penglibatan pemain yang lebih dikenali sebagai Mat Yo itu bersama skuad kebangsaan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe dalam pusingan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sebagai bahan jenaka.
Tidak cukup dengan itu, ada pula segelintir pihak yang mendakwa Mat Yo berhijrah ke kelab Thailand hanya semata-mata mengejar gaji yang lumayan tidak setimpal dengan usia dan kemampuannya.
Mungkin tidak tahan dengan segala tuduhan dan andaian negatif yang dilemparkan kepadanya, beliau akhirnya bersuara di dalam akaun Instagram miliknya.
Foto-foto pertama Norshahrul Idlan Talaha ketika sesi latihan bersama BG Pathum United.
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 20, 2020
📸: BG Pathum United pic.twitter.com/2yWYsktSKW
“Kepada rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian. Saya di sini (Thailand) bukan kerana gaji yang besar atau lumayan. Saya mencari pengalaman. Kalau nak gaji besar (lebih) baik saya duduk dan bermain di Malaysia.
“Anda fikir saya senang di sini? Saya ada tanggungjawab besar dan berat perlu dipikul. Tolong bagi saya ruang, saya tak minta disokong atau dikeji, dihina mahupun sebaliknya. Berhentikan!.
“Saya perlukan ruang untuk saya mencari rezeki. Doa baik-baik, cakap baik-baik. Insya-Allah semua kebaikan akan berlaku.
“Kerjasama kalian amat saya hargai. Hanya Allah dapat membalas kebaikan anda semua,” kata Mat Yo.
Melihat kepada situasi ini, mungkin inilah realiti sebenar sikap penyokong bola sepak Malaysia yang tidak mengenal erti ‘hormat’ atau dalam bahasa inggerisnya ‘respect‘ yang merupakan ‘asas’ dalam sukan bola sepak.
Sekurang-kurangnya hargailah jasa beliau yang pernah membantu Malaysia membawa pulang Piala AFF pada 2010. Malah pemain ini juga masih berupaya menjaringkan gol untuk pasukan negara dalam edisi Piala AFF pada dua tahun lepas dan membawa Malaysia sehingga ke perlawanan akhir.
Norshahrul telah membuat penampilan pertama dalam liga bersama BG Pathum United dalam aksi pembukaan musim menentang Muang Thong United dan pasukannya telah mencatat kemenangan 2-1.
Dalam perlawanan tersebut, Mat Yo diturunkan dalam kesebelasan utama dan digantikan oleh Peerapong Pichitchotirat pada babak kedua.
Kredit Foto: BG Pathum United